Untuk pasaran Thailand, Yamaha NVX yang ditawarkan di pasaran Malaysia dikenali dengan nama Yamaha Aerox 155. Setakat ini pasaran Malaysia dan Thailand masih lagi menerima model terdahulu, berbanding pasaran Vietnam dan Indonesia yang telah menerima generasi terkini Yamaha NVX 155 2021 dan Yamaha Aerox 155 2021.
Bagaimanapun pada tahun ini, Yamaha NVX 2021 juga bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, begitu juga Yamaha Aerox 155 2021 akan dilancarkan di pasaran Thailand. Setakat ini spyshot Yamaha NVX 2021 telah dapat dikesan sedang ditunggang uji di jalan raya Malaysia, pada penghujung bulan Disember 2020 yang baru saja berlalu.
Sementara menantikan ketibaan rasmi Yamaha NVX 2021 untuk pasaran Malaysia dan Yamaha Aerox 155 2021 untuk pasaran Thailand, tidak salah rasanya untuk kita melihat gambar-gambar menarik Yamaha Aerox 155 2020 yang ketika ini ditawarkan di pasaran Thailand, dalam tiga pilihan varian iaitu Standard Version, R Version dan ABS Version.
Untuk pasaran Thailand, setiap versi didatangkan dalam dua pilihan warna yang sporty dan menyerlah. Perbezaan di antara ketiga-tiga versi tersebut melibatkan sistem brek sama ada ABS atau tanpa ABS, reka bentuk cakera brek depan, suspensi belakang dengan atau tanpa Sub-Tank dan sistem Start & Stop yang eksklusif untuk versi ABS.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha Aerox 155 2020 ini termasuklah enjin 155cc Blue Core dengan teknologi VVA yang berprestasi, panel meter digital berukuran 5.8 inci, lampu depan LED berkembar, lampu belakang LED, tangki bahan api dengan pelindung penutup pada posisi yang memudahkan ketika mengisi minyak, soket kuasa untuk mengecas telefon bimbit dan ruang di bawah tempat duduk seluas 25 liter.
Untuk pasaran Thailand, Yamaha Aerox 155 Standard Version 2020 ditawarkan pada harga 65,400 THB (bersamaan RM 8,752.93), manakala bagi varian R Version ianya boleh dimiliki pada harga 68,400 THB (bersamaan 9,154.44). Bagi varian teratas iaitu ABS Version, harganya ialah sebanyak 75,900 THB, bersamaan RM 10,158.21.
Galeri : 2020 Yamaha Aerox 155 Standard Version (Thailand)
Galeri : 2020 Yamaha Aerox 155 R Version (Thailand)
Galeri : 2020 Yamaha Aerox 155 ABS Version (Thailand)