Yamaha Exciter 155 VVA 2021 baru saja berada di pasaran Vietnam secara rasmi mulai tarikh 06hb. Januari 2021 baru-baru ini. Namun untuk seorang pemilik bertuah yang telah berjaya memiliki model tersebut, ianya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengubahsuai jentera berkenaan yang kini tampil lebih sporty dan ekstrem.
Lebih menarik dan membanggakan ialah pemiliknya banyak menggunakan komponen berprestasi tinggi daripada jenama Racing Boy (RCB), antaranya seperti fork depan jenis terbalik, suspensi belakang dengan lengan ayun, rim aloi ringan lima bilah, sistem brek dan suis di sebelah kanan dengan butang penghidup enjin dan butang on / off.
Juga kelihatan steering damper daripada RCB, manakala kesemua komponen skru datangnya daripada jenama Salaya. Lampu signal belakang pula ditukar kepada jenis LED mirip lampu asal daripada Honda Winner X. Menurut pemiliknya, kos keseluruhan pengubahsuaian tersebut menelan kos sekitar 100 juta VND, bersamaan RM 17.5k.
Seperti mana yang dapat kita lihat, pengubahsuaian atau modifikasi yang dilakukan itu dapat dilakukan dengan cepat kerana Yamaha Exciter 155 VVA berkongsi banyak bahagian dengan model Yamaha Exciter 150. Untuk bakal pemilik di Malaysia yang juga mahu melakukan modifikasi sendiri, nantikan pelancaran Yamaha Y15ZR V3 2021.
Sumber : Zingnews.vn