Honda PCX160 2021 rasmi dilancarkan di pasaran Thailand, hadir dalam dua varian Standard dan ABS

Selain daripada pelancaran model kapcai terbaharu Honda Wave 110i 2021, pasaran Thailand kelmarin turut menerima kehadiran model Honda PCX160 2021. Pelancaran model skuter serba baharu itu merupakan susulan kepada pelancaran model yang sama di pasaran domestik Jepun pada bulan Disember 2020 yang lepas.

Di pasaran Jepun, Honda PCX160 2021 hanya ditawarkan dalam varian ABS, namun di pasaran Thailand, varian Standard turut ditawarkan. Bezanya ialah varian Standard hanya dilengkapi sistem brek cakera depan dengan sistem brek CBS, manakala varian ABS dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem brek ABS.

Spesifikasi teknikal yang lain adalah sama untuk kedua-dua varian Standard dan ABS, antaranya dikuasakan enjin eSP+ baharu bersesaran 156.93cc (liquid-cooled, 4-stroke, OHC, single-cylinder). Lebih menarik lagi ialah enjin berkenaan kini dilengkapi dengan empat injap yang lebih cekap berbanding dua injap pada model Honda PCX150. 

Jumlah keluaran kuasa dan tork setakat ini masih belum didedahkan, namun di pasaran Jepun, ianya berada pada paras maksimum 15.8PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 15Nm @ 6,500rpm. Sebagai perbandingan, Honda PCX150 2020 menghasilkan kuasa maksimum pada paras 15PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 14Nm @ 6,500rpm.

Ciri-ciri menarik seterusnya yang melengkapi Honda PCX160 2021 di pasaran Thailand ini antaranya termasuklah teknologi Honda Selectable Torque Control, ruang bagasi di bawah tempat duduk dengan keluasan 30 liter, pengecas USB Type-C yang diletakkan di konsol dalaman di bahagian depan dan sistem Smart Key yang canggih dan mudah.

Sistem suspensi terdiri daripada fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis berkembar. Model skuter tersebut dipasangkan tayar tanpa tiub berukuran 110/70-14M/C 50P dan 130/70-13M/C 63P. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 8.1 liter, dengan berat (net weight) masing-masing mencapai 129 kg (Standard) dan 131 kg (ABS).

Tidak dilupakan ialah Honda PCX160 2021 turut hadir dengan kerangka badan baharu, panel meter digital sepenuhnya, sistem lampu depan dan belakang LED sepenuhnya, serta dua pilihan warna untuk varian ABS dan tiga pilihan warna untuk varian Standard. Harga yang ditawarkan pula bermula dari 91,900 THB, bersamaan RM 12,351.28.