Suzuki Katana 2021 diperkenalkan dalam warna istimewa, terhad 100 unit untuk pasaran domestik Jepun

Untuk peminat Suzuki Katana di pasaran domestik Jepun, Suzuki kini menawarkan jentera naked berkenaan dalam pilihan warna merah istimewa iaitu Candy Darling Red, dalam edisi terhad 100 unit sahaja. Tempahan untuk Suzuki Katana model tahun 2021 itu akan dibuka pada tarikh 11hb. Januari 2021, bermula pada jam 03.00 petang.

Harga jualan yang ditetapkan ialah sebanyak 1,595,000 Yen, bersamaan RM 62,142.36 mengikut kadar semasa. Peminat yang berjaya memiliki model itu nanti pasti akan berpuas hati dengan penampilan warnanya yang garang dan eksklusif, bersama-sama sentuhan warna emas di bahagian fork depan dan bar pemegang (handle bar).

Suzuki Katana 2021 masih mengekalkan spesifikasi sama seperti mana model tahun sebelumnya, iaitu dikuasakan enjin empat silinder bersesaran 998cc dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin berprestasi tinggi itu menghamburkan kuasa maksimum mencecah 148PS @ 10,000rpm dengan tork puncak setinggi 107Nm @ 9,500rpm.

Jentera berkenaan turut dilengkapi panel meter digital, sistem lampu LED, sistem brek depan Brembo dengan ABS, Traction Control System dan tangki bahan api 12 liter. Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Katana versi 2020 ditawarkan pada harga sekitar RM 69,880.00 (sumber dari Mudah.my), dalam dua pilihan warna iaitu perak dan hitam.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?