Model Yamaha SRX250F yang dipaparkan di dalam artikel ini merupakan keluaran tahun 1985, khusus untuk pasaran domestik Jepun. Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang MCS, ianya dikuasakan enjin bersesaran 249cc (four stroke, single cylinder, DOHC, 4 valves) yang bergandingan dengan kotak gear enam kelajuan.
Yamaha SRX250F ini dilengkapi ‘half fairing’, manakala varian Yamaha SRX250 tidak dilengkapi sebarang ‘fairing’ dan tampil sebagai sebuah model naked. Berdasarkan gambar-gambar dalam galeri di bawah, dua pilihan warna ditawarkan iaitu putih dan hitam, dengan perbezaan warna di bahagian tempat duduk, kerangka dan fork depan.
Reka bentuk Yamaha SRX250F 1985 ini boleh dikatakan sporty dan melambangkan gaya motosikal tahun 1980an yang kental. Ianya dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan, brek dram belakang, rim roda dengan rekaan tiga bilah, dan juga lampu depan dan belakang yang bercirikan retro.