Spesifikasi rasmi Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam terdedah, kelajuan maksimum hanya 117 km/j?

Menjelang pelancaran rasmi Yamaha Exciter 155 VVA 2021 yang bakal berlangsung esok pada jam 7.00 malam, maklumat mengenai spesifikasi rasmi untuk model tersebut kini dikatakan telah terdedah. Maklumat yang bocor itu dikatakan datangnya dari salah satu jabatan kerajaan yang berkaitan, berdasarkan info yang diberikan oleh Yamaha.

Antara maklumat yang didedahkan itu ialah Yamaha Exciter 155 VVA 2021 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 155.1cc dengan satu silinder, dilengkapi sistem sejukan jenis cecair dan menghasilkan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm. Sebagai rujukan, Yamaha Exciter 150 menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 15.15hp sahaja.

Peningkatan jumlah kuasa secara signifikan itu telah membuktikan bahawa Yamaha Exciter 155 VVA 2021 sememangnya dilengkapi teknologi canggih VVA. Bagaimanapun tidak pasti kenapa jumlah kuasa tersebut berkurangan jika dibandingkan dengan jumlah kuasa yang dihasilkan oleh Yamaha YZF-R15 yang berada pada angka 19.04hp.

Maklumat lain yang turut didedahkan ialah Yamaha Exciter 155 VVA 2021 dilengkapi dengan sistem transmisi enam kelajuan, sama seperti mana yang dijangkakan sebelum ini. Tahap penggunaan bahan api pula dikatakan berada pada paras 2.09 liter / 100 km, sedikit tinggi berbanding Yamaha Exciter 150 yang berada pada paras 2.0 liter/ 100 km.

Berat Yamaha Exciter 155 VVA 2021 pula ialah 121 kg, tambahan sebanyak 4 kg jika dibandingkan dengan model Yamaha Exciter 150 yang mempunyai berat 117 kg. Selain itu berdasarkan maklumat yang terdedah, terdapat dua versi Yamaha Exciter 155 VVA 2021 yang akan dilancarkan, dengan satu versi mempunyai berat hanya 119 kg sahaja.

Berdasarkan perbezaan berat di antara kedua-dua versi tersebut, berkemungkinan besar versi dengan berat 121 kg ialah versi yang dilengkapi dengan sistem brek ABS. Saiz tayar hadapan dan belakang dikatakan masih sama seperti model Yamaha Exciter 150, iaitu 90/80 (depan) dan 120/70 (belakang), dengan rim aloi 17 inci rekaan baharu.

Maklumat paling menarik sekali ialah berkaitan kelajuan maksimum Yamaha Exciter 155 VVA 2021. Menurut maklumat yang didedahkan itu, Yamaha Motor Vietnam telah mengumumkan bahawa kelajuan maksimum model tersebut berada pada angka 117 km/j sahaja. Jika benar, kelajuan maksimum tersebut dirasakan agak perlahan.

Untuk maklumat yang lebih tepat dan lebih lengkap, sama-sama kita tunggu pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021 ini yang akan berlangsung pada malam esok. Untuk pasaran Malaysia, model ini akan dilancarkan sebagai model Yamaha Y15ZR V3 2021, dan akan dijual sebagai model premium di samping model Yamaha Y15ZR V2.

Sumber : Autopro.com.vn


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?