Spekulasi pelancaran model moped Benelli RFS200i 2021 dengan enjin 2-silinder 200cc untuk pasaran Malaysia

Gambar di atas hanya sekadar hiasan

Pelancaran model moped Yamaha Y15ZR V3 2021 dengan enjin 155cc VVA dan transmisi enam kelajuan mungkin antara yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat motosikal tempatan ketika ini. Bagaimanapun spekulasi mengenai model moped Benelli RFS200i dengan enjin 2-silinder 200cc dijangka akan lebih menarik perhatian ramai.

Model tersebut yang ketika ini hanya dikenali dengan nama Benelli RFS200i 2021 dikatakan bakal dilancarkan pada tahun depan. Lebih mengujakan ialah berdasarkan maklumat yang menjadi bualan di dalam laman Facebook pada awal Disember 2020, model tersebut dikatakan telah pun masuk ke barisan produksi di kilang pengeluarnya.

Maklumat ini bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihannya, memandangkan Benelli atau syarikat pengedarnya MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. sendiri masih belum mengeluarkan sebarang teaser yang boleh merujuk kepada model berkenaan. Mungkin spekulasi ini ada kebenarannya, atau mungkin juga hanya sekadar khabar angin.

Jika benar Benelli RFS200i 2021 akan dilancarkan di pasaran Malaysia, bermakna sejarah baharu akan tercipta. Model tersebut akan memecahkan rekod baharu dalam dunia motosikal moped versi pasaran semasa, dan akan mengatasi pencabar-pencabar yang lain dengan mudah seperti SYM VF3i 185, Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR.

Bayangkan dengan enjin 2-silinder bersesaran 200cc, jumlah kuasa dan tork maksimum yang terhasil dijangka akan melebihi paras 22PS dan 20Nm. Kelajuan maksimum pula pasti dengan mudah mencapai angka kelajuan 160 km/j, tanpa perlu memaksa enjin bekerja dengan lebih keras dan melakukan modifikasi yang menelan kos yang mahal.

Namun walaupun spekulasi ini kelihatan ada kebenarannya, pada masa yang sama ianya juga dirasakan agak mustahil untuk melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang di negara kita. Adakah pihak JPJ akan meluluskan pengeluaran sesebuah model moped dengan enjin sebesar 200cc yang pastinya terlalu berkuasa?

Mungkin pengeluarannya dibenarkan jika ciri-ciri keselamatan telah dipertingkatkan secara signifikan, seperti dilengkapi sistem brek ABS, Traction Control System (TCS), tayar depan dan belakang yang lebih lebar, kelajuan maksimum dihadkan kepada paras tertentu, atau jumlah kuasa dan tork maksimum ditala semula agar tidak terlalu buas.

Setakat ini apa yang boleh dikatakan, jangan terlalu berharap Benelli RFS200i 2021 ini akan menjadi kenyataan, selagi pihak Benelli Malaysia atau MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Jika benar model ini akan dilancarkan, pasti ada imej atau video teaser pertama akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Sekadar ramalan awal, sekiranya model moped Benelli RFS200i 2021 ini dilancarkan, adakah ianya akan memberi kesan ketara kepada model-model moped popular yang lain? Sudah tentu ramai yang mahu memiliki sebuah model moped dengan enjin paling besar dan paling berkuasa, namun faktor-faktor lain juga masih perlu diambil kira.

Sumber : Facebook (1) & Facebook (2)


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?