Yamaha Y15ZR V2 akan terus ditawarkan oleh HLYM, sebagai pilihan lebih mampu milik berbanding Yamaha Y15ZR V3

Menjelang pelancaran rasmi model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 serba baharu pada tarikh 29hb. Disember 2020 akan datang, masih terdapat ramai peminat motosikal di pasaran Vietnam yang percaya bahawa model sebenar yang akan dilancarkan nanti ialah model sport bike Yamaha YZF-R15 2021 versi facelift paling terkini.

Bagaimanapun hari ini Yamaha Motor Vietnam telah menyiarkan sekeping lagi imej ‘teaser’ terbaharu yang secara tidak langsung membuktikan bahawa model yang bakal dilancarkan itu ialah Yamaha Exciter 155 VVA 2021. Melalui imej tersebut, dapat dilihat dengan jelas paparan sisi model moped berkenaan termasuk tempat duduknya.

Mungkin esok atau lusa Yamaha Motor Vietnam akan menyiarkan lagi beberapa keping imej ‘teaser’ terbaharu untuk terus menghangatkan suasana, namun itu semua tidak lagi penting kerana tarikh pelancaran hanya tinggal dalam tempoh tiga hari sahaja lagi.

Sementara itu di pasaran Malaysia, terdapat beberapa maklumat terkini yang boleh dikatakan agak menarik. Pertama ialah pemasangan rasmi model Yamaha Y15ZR V3 2021 dikatakan bakal bermula pada bulan Mac 2021, bermakna jangkaan pelancaran model tersebut dalam tempoh separuh kedua 2021 mungkin akan menjadi kenyataan.

Maklumat kedua yang pastinya dialu-alukan oleh ramai peminat Yamaha di pasaran tempatan ialah Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) dikhabarkan akan terus menawarkan model Yamaha Y15ZR V2, di samping model Yamaha Y15ZR V3.

Antara sebab kenapa HLYM akan terus menawarkan Yamaha Y15ZR V2 ialah kerana harga yang bakal ditetapkan untuk Yamaha Y15ZR V3 dijangka akan melepasi paras melebihi RM 10k, jadi peminat motosikal tempatan mempunyai pilihan sama ada untuk membeli Yamaha Y15ZR V3, atau cukup dengan hanya membeli Yamaha Y15ZR V2.

Strategi tersebut adalah sama seperti mana strategi yang telah diamalkan oleh HLYM sebelum ini, iaitu mereka masih menawarkan model Yamaha 135LC, sebagai pilihan kedua dengan harga yang lebih berpatutan berbanding harga Yamaha Y15ZR V2. Apa pun sekiranya mampu, pasti ramai yang akan tetap memilih Yamaha Y15ZR V3.

Ketika ini harga Y15ZR V2 ditawarkan pada harga yang lebih tinggi berbanding harga runcit yang ditetapkan, namun selepas pelancaran Y15ZR V3 nanti, harga Y15ZR V2 dijangka akan kembali turun ke paras biasa. Walaupun spesifikasinya telah ketinggalan ketika itu, harga yang lebih rendah pastinya masih berbaloi untuk memilikinya.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?