Pelancaran rasmi Yamaha Y15ZR V3 dijangka pada separuh kedua 2021, adakah harganya bakal melepasi paras RM 10k?

Model moped serba baharu yang dinanti-nantikan Yamaha Exciter 155 VVA 2021 bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Vietnam pada tarikh 29hb. Disember 2020. Nama tersebut sebenarnya masih belum lagi rasmi, namun digunakan sekadar untuk merujuk kepada model yang bakal menggantikan model semasa Yamaha Exciter 150.

Untuk pasaran Malaysia pula, setakat ini model tersebut dinamakan sebagai model Yamaha Y15ZR V3 yang akan menggantikan model semasa Yamaha Y15ZR V2. Sama seperti di pasaran Vietnam, nama Yamaha Y15ZR V3 juga masih belum rasmi, mungkin pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) akan menggunakan nama lain.

Berdasarkan laporan terdahulu, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 bakal menampilkan reka bentuk baharu yang lebih menarik dan sporty, termasuk peningkatan spesifikasi serta enjin yang lebih berkuasa. Jadi tidak hairanlah jika model tersebut digelar sebagai ‘The Little R1’ oleh Yamaha Motor Vietnam, suatu kenyataan yang boleh dikatakan berani.

Antara spesifikasi paling menarik yang dikatakan bakal digunakan pada model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 ini ialah kelengkapan enjin serba baharu yang bersesaran 155cc dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation), yang kemudiannya digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.

Enjin tersebut mungkin sama dengan enjin yang digunakan pada model Yamaha YZF-R15, jadi tidaklah mengejutkan jika keluaran kuasa maksimumnya boleh mencapai sehingga 19.3PS (14.2kW) @ 10,000rpm dengan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm. Jika benar itulah prestasinya, tidak salah kalau ianya diberikan gelaran ‘The Little R1’.

Spesifikasi lain tidak kurang menariknya, apabila Yamaha Exciter 155 VVA 2021 juga dikatakan bakal dilengkapi sistem kunci Keyless, panel meter digital baharu yang akan memaparkan informasi lebih canggih, serta rekaan badan baharu yang lebih sporty termasuklah melibatkan lampu depan dan lampu belakang yang berubah sepenuhnya.

Sistem brek ABS bagaimanapun masih belum dapat disahkan, namun untuk menjadi pencabar sebenar kepada model Honda Winner X, dijangkakan pihak Yamaha Motor Vietnam akan turut menawarkan varian ABS, sebagai pilihan kepada varian standard. Ciri baharu yang lain juga termasuklah kemudahan soket pengecas telefon bimbit.

Dengan peningkatan pelbagai spesifikasi yang lebih signifikan berbanding apa yang ditawarkan oleh model semasa Yamaha Y15ZR V2 ketika ini, jadi kita semua sudah boleh meramalkan bahawa harga yang akan ditawarkan untuk Yamaha Y15ZR V3 pastinya akan lebih tinggi. Persoalannya adakah ianya akan melepasi paras RM 10k?

Dengan melihat kepada harga semasa Yamaha Y15ZR V2 2020 yang dilancarkan dengan skim warna baharu baru-baru ini iaitu sebanyak RM 8,168.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), sememangnya logik jika dikatakan harga Y15ZR V3 akan meningkat melebihi paras RM 10k sehingga ke paras tertinggi RM 11k.

Berkenaan tarikh pelancaran untuk pasaran Malaysia pula, Yamaha Y15ZR V3 dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia secara rasmi dalam separuh kedua tahun 2021. Namun begitu ini hanyalah jangkaan awal sahaja berdasarkan selang masa pelancaran Yamaha Exciter 150 2019 dengan Yamaha Y15ZR V2 yang mengambil masa 7 bulan.