Siri Honda CB1300 Super Four dan Super Bol D’or 2021 akan berada di pasaran Jepun mulai 18hb. Mac 2021

Seperti mana yang dijanjikan sebelum ini, Honda kelmarin telah mengumumkan secara rasmi pelancaran model Honda CB1300 Super Four, Honda CB1300 Super Bol D’or, Honda CB1300 Super Four SP dan Honda CB1300 Super Bol D’or SP bagi musim 2021, yang kini didatangkan dengan skim warna dan kelengkapan elektronik terbaharu.

Keempat-empat model berkenaan akan berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 18hb. Mac 2021, dengan harga yang ditetapkan seperti berikut :

  • Honda CB1300 Super Four 2021 : 1,562,000 Yen (RM 61,183.75)
  • Honda CB1300 Super Bol D’or 2021 : 1,672,000 Yen (RM 65,492.46)
  • Honda CB1300 Super Four SP 2021 : 1,936,000 Yen (RM 75,833.37)
  • Honda CB1300 Super Bol D’or SP 2021 : 2,046,000 (RM 80,142.09)

Bagi musim 2021, Honda CB1300 Super Four dan Honda CB1300 Super Bol D’or kini tampil lebih menyerlah dengan kerangka berwarna merah bagi model berwarna Pearl Sunbeam White, manakala model berwarna Beta Silver Metallic dilengkapi kerangka berwarna hitam. Rim roda keemasan melengkapkan gaya kedua-dua model tersebut.

Bagi model Honda CB1300 Super Four SP dan Honda CB1300 Super Bol D’or SP pula, juga tersedia dua pilihan warna iaitu Candy Chromosphere Red dan Pearl Hawks Eye Blue. Kedua-dua warna tersebut adalah sama seperti model sebelumnya, namun kini didatangkan tempat duduk dengan jahitan berwarna merah yang tampil lebih sporty.

Aspek kelengkapan elektronik baharu yang canggih memperlihatkan keempat-empat model tersebut kini dilengkapi sistem Throttle by Wire (TBW) yang memberikan kawalan pendikit lebih tepat, sistem Riding Mode dengan pilihan mod tunggangan seperti Sport, Standard dan Rain, dan turut dilengkapi Cruise Control untuk keselesaan tunggangan.

Selain itu Honda turut menambah ciri baharu Emergency Stop Signal yang berfungsi dengan cara mengerlipkan lampu kecemasan apabila motosikal membrek secara tiba-tiba pada kelajuan tinggi, bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain. Quickshifter tersedia sebagai pilihan aksesori asli yang ditawarkan oleh Honda.

Siri Honda CB1300 Super Four dan Super Bol D’or 2021 dikuasakan enjin bersesaran 1,284cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, 4-cylinder) dengan kuasa maksimum 110PS @ 7,250rpm dan tork maksimum 118Nm @ 5,500rpm. Untuk varian SP, ianya dilengkapi sistem suspensi daripada Öhlins dan brek Brembo radial mount calipers.

Artikel Popular Minggu Ini :