Salah sebuah model motosikal terbaharu yang dinanti-nantikan di pasaran Malaysia ketika ini ialah GPX Demon GR200R. Model berkenaan sebelum ini dilancarkan di pasaran Thailand dalam bulan Jun 2020, dan kemudiannya dikhabarkan bakal masuk ke pasaran Malaysia pada November 2020. Sayangnya tidak menjadi kenyataan.
Sementara itu di pasaran Vietnam, GPX Demon GR200R secara rasminya telah masuk ke pasaran negara tersebut pada tarikh 19hb. Disember 2020. Harga yang ditawarkan ialah sebanyak 73,000,000, bersamaan RM 12,802.53 mengikut kadar semasa. Harga tersebut dijangka tidak jauh berbeza dengan harga untuk pasaran Malaysia nanti.
Salah satu daya tarikan utama GPX Demon GR200R ialah reka bentuknya yang sporty, seterusnya diikuti oleh spesifikasi teknikal yang boleh dikatakan serba lengkap untuk sesebuah model di dalam kelasnya, serta harga jualan yang berpatutan. Pilihan warna yang ditawarkan juga kelihatan segar dan agresif, di samping enjin yang berprestasi.
Secara ringkasnya kita imbas kembali spesifikasi Demon GR200R ini, antaranya enjin 198cc dengan teknologi suntikan bahan api GPX-Fi, sistem sejukan cecair, transmisi enam kelajuan, tork maksimum 17.2Nm @ 6,500rpm, kerangka trellis yang kuat, meter digital moden, sistem lampu LED sepenuhnya dan suspensi belakang monoshock YSS.
GPX Demon GR200R dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 10.5 liter, ketinggian tempat duduk berukuran 815 mm dan berat hanya 155 kg. Dengan nisbah kuasa yang ada, ianya telah membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 140 + km/j. Pengendalian cemerlangnya pula dibantu oleh sepasang fork depan jenis upside-down.
Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan roda belakang sudah mencukupi untuk memberhentikan Demon GR200R ini dengan selamat. Kemudiannya rim berukuran 17 inci digandingkan bersama-sama tayar depan bersaiz 100 / 80 dan tayar belakang 140 / 70. Ketika ini, sama-sama kita tunggu gilirannya untuk masuk ke pasaran Malaysia.