Yamaha MX King 150 2020 di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 6,894.82

Di pasaran Indonesia, Yamaha menawarkan model moped Yamaha MX King 150 2020 dalam tiga pilihan warna sporty iaitu Active Blue, Aggressive Red dan Adorable Orange. Spesifikasi teknikalnya adalah sama seperti yang dimiliki oleh model Yamaha Y15ZR 2020, namun kelebihannya ialah dilengkapi dengan sistem penghidup jenis tendang.

Yamaha MX King 150 di pasaran Indonesia tidak sepopular model Yamaha Y15ZR di pasaran Malaysia. Ini kerana pasaran Indonesia lebih meminati model-model skuter berbanding model-model moped. Selain itu pengguna motosikal di sana mempunyai banyak pilihan model-model lain di bawah 250cc pada harga yang sangat berpatutan.

Untuk pasaran Indonesia, Yamaha MX King 150 2020 ditawarkan pada harga sebanyak Rp. 24,075,000, bersamaan RM 6,894.82 mengikut kadar semasa. Bagi Yamaha MX King 150 versi Doxou dan MotoGP Edition pula, harga yang ditawarkan masing-masing adalah sebanyak Rp. 24,170,000 (RM 6,922.03) dan Rp. 24,375,000 (RM 6,980.74).

Setakat ini tidak dapat dipastikan sejauh manakah pasaran model-model moped di Indonesia akan bertahan, namun bagi model Yamaha MX King 150, generasi terbaharu dijangka akan terus diperkenalkan pada tahun depan. Untuk pasaran Malaysia, buat masa ini jualan model-model kapcai dan moped masih kekal menjadi pilihan utama.