Yamaha YZF-R25 2021 dan Yamaha YZF-R3 2021 terima kemaskini warna baharu untuk pasaran Jepun

Untuk pasaran domestik Jepun, Yamaha hari ini memperkenalkan dua model terbaharu keluarannya iaitu Yamaha YZF-R25 2021 dan Yamaha YZF-R3 2021. Kedua-dua model berkenaan masih mengekalkan spesifikasi teknikal sama seperti model keluaran tahun 2020, namun tampil dengan kemaskini warna baharu yang semakin menyerlah.

Menurut Yamaha, warna baharu yang diperkenalkan kali ini ialah Cyan dan Matte Dark Gray Metallic, manakala warna Blue merupakan warna terdahulu yang dibawa daripada model tahun sebelumnya. Ketiga-tiga warna tersebut didapati sama seperti mana tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk model Yamaha YZF-R3 2021 di pasaran USA.

Berdasarkan maklumat terkini, Yamaha YZF-R25 2021 untuk pasaran Jepun kini tidak lagi ditawarkan versi tanpa sistem brek ABS, sebaliknya hanya versi ABS sahaja yang ditawarkan. Selain itu Yamaha YZF-R25 dan Yamaha YZF-R3 bagi musim 2021 untuk pasaran Jepun juga didapati tidak lagi tersedia pilihan fork depan berwarna emas.

Beralih ke bahagian sistem penjana kuasa, Yamaha YZF-R25 2021 dikuasakan enjin bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC inline twin-cylinder; 4-valves per cylinder) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimum berada pada paras 35PS @ 12,000rpm dengan tork maksimum 23Nm @ 10,000rpm.

Bagi model Yamaha YZF-R3 2021, enjinnya mempunyai sesaran yang lebih besar iaitu 320cc dengan gandingan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dengan tork maksimum 29Nm @ 9,000rpm. Kedua-dua model tersebut dilengkapi tangki petrol 14 liter dan berat masing-masing ialah 170 kg.

Untuk pasaran Jepun, Yamaha YZF-R25 2021 ditawarkan pada harga 654,500 Yen, bersamaan RM 25,625.92 mengikut kadar semasa. Bagi model Yamaha YZF-R3 2021 pula, harganya ditetapkan sebanyak 687,500 Yen, bersamaan RM 26,917.98. Kedua-duanya akan berada di pasaran Jepun secara rasmi mulai tarikh 15hb. Januari 2021.

Galeri : Yamaha YZF-R25 2021 (Japan)

Galeri : Yamaha YZF-R3 2021 (Japan)

Artikel menarik minggu ini :