Honda PCX e:HEV 2021 diperkenalkan untuk pasaran Jepun, dilengkapi enjin eSP+ 125cc dengan bantuan sistem hibrid

Untuk pasaran domestik Jepun bagi musim 2021, Honda telah memperkenalkan dua model skuter terbaharu Honda PCX dan Honda PCX160. Kedua-duanya tampil dengan rekaan facelift terbaharu, enjin yang dinaiktaraf dan beberapa penambahbaikan terkini.

Selain daripada kedua-dua model tersebut, terdapat sebuah lagi varian PCX yang turut diperkenalkan bersama-sama iaitu Honda PCX e:HEV. Bersesuaian dengan namanya, model tersebut dilengkapi sistem hibrid yang menjana kuasa tambahan untuk pecutan.

Menurut maklumat daripada Honda, sumber kuasa yang dihasilkan oleh bateri lithium-ion akan menambah fungsi kepada pendorong pemacu pada starter AGC (motor), yang mana ianya bertanggungjawab untuk menghidupkan enjin dan menghasilkan tenaga.

Dengan menggabungkan enjin eSP+ 125cc baharu bersama-sama tenaga tambahan daripada motor elektrik, jumlah keluaran tork dapat dipertingkatkan ketika enjin berada dalam putaran rendah, seterusnya meningkatkan lagi prestasi pecutan awalnya.

Menurut Honda lagi, terdapat dua jenis perwatakan untuk sistem bantuan motor iaitu D Mode dan S Mode. Kedua-duanya memberikan pilihan untuk tunggangan biasa yang lebih selesa, atau ciri tunggangan sporty yang menawarkan lebih keseronokan.

Bagi membezakan varian PCX e:HEV dengan varian PCX dan PCX160, pilihan warna tunggal Pearl Jasmine White telah diperkenalkan, dengan sentuhan warna biru yang memberikan lambang bahawa Honda PCX e:HEV ialah sebuah model skuter hibrid.

Honda PCX e:HEV mempunyai enjin yang sama dengan model Honda PCX, iaitu 124cc dengan keluaran kuasa 12.5PS @ 8,750rpm dan tork 12Nm @ 6,500rpm. Motor elektrik pula menghasilkan kuasa tambahan 1.9PS @ 3,000rpm dan tork 4.3Nm @ 3,000rpm.

Ruang bagasi di bawah tempat duduk PCX e:HEV sedikit kecil berbanding PCX, kerana ianya turut menampung ruang untuk bateri lithium-ion. Berat PCX e:HEV pula mencapai 136 kg berbanding berat PCX dan PCX160 yang berada pada paras 132 kg sahaja.

Selain itu tahap penggunaan bahan api bagi model PCX e:HEV juga didapati lebih baik, terutamanya ketika ditunggang secara berseorangan. Untuk pasaran Jepun, Honda PCX e:HEV 2021 ditawarkan pada harga 448,800 Yen, bersamaan RM 17,472.95.

Artikel Popular Minggu Ini :