Motosikal moped dua lejang Yamaha 125ZR sememangnya mempunyai harga yang tinggi di pasaran Malaysia, terutamanya bagi versi bertaraf New Old Stock (NOS). Bagaimanapun di pasaran Vietnam, harga yang ditawarkan untuk model tersebut boleh dikatakan telah melangkaui imaginasi kita semua dan kelihatan sukar dipercayai.
Berdasarkan laporan yang disiarkan di dalam artikel terdahulu, sebuah model Yamaha 125ZR berwarna kuning dengan nombor plat bertuah dan istimewa telah ditawarkan pada harga bersamaan RM 176k, atau di dalam nilai mata wang Vietnam ialah 1 bilion VND. Tawaran harga tersebut telah mengejutkan komuniti permotoran di Vietnam.
Walau pun ramai yang mempertikaikan nilai harga tersebut kerana ianya terlalu tinggi, namun apa yang lebih mengejutkan baru-baru ini ialah motosikal tersebut telah pun berjaya dijual, namun pada harga yang jauh lebih tinggi. Menurut sumber dari Vietnam, Yamaha 125ZR itu dikatakan telah berjaya dijual pada harga sekitar 1.68 bilion VND.
Harga tersebut bersamaan nilai RM 294,744.74 mengikut kadar semasa, dan apabila digenapkan ianya menghampiri angka RM 295k. Bayangkan ada pembeli yang sanggup membeli sebuah motosikal moped terpakai bersama-sama nombor plat istimewa yang dipercayai mempunyai nilai tuah tersendiri, pada harga beberapa buah kereta baharu.
Mungkin bagi pembeli tersebut ianya bukanlah berkenaan harga Yamaha 125ZR itu semata-mata, namun lebih kepada kemahuannya untuk mendapatkan nombor plat tersebut. Bukan sahaja di Vietnam, malah di negara kita sendiri ramai yang sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki nombor plat istimewa.
Paling beruntung sudah pasti pemilik asal motosikal tersebut kerana harga modal yang dikeluarkannya sebelum ini sudah tentu jauh lebih rendah. Bagi pembeli itu pula, wang bukanlah suatu masalah baginya sehingga mampu mengeluarkan jumlah yang sangat besar. Nampaknya nilai pasaran untuk 125ZR di pasaran Vietnam sangat luar biasa.
Sumber : Langxe.net