Tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, namun sebelum itu Boon Siew Honda (BSH) dijangka akan melancarkan model terbaharu Honda CBR250RR SP 2021 dalam masa terdekat. Berdasarkan beberapa maklumat terkini daripada laman sosial Honda BigWing, model tersebut dikatakan bakal tiba dalam bulan Disember 2020 ini.
Lebih menarik lagi, harga jangkaan untuk Honda CBR250RR SP 2021 di pasaran Malaysia juga buat pertama kalinya didedahkan oleh Honda BigWing, iaitu dalam anggaran RM 29k sahaja. Tidak pasti sama ada harga tersebut tepat atau pun tidak, bagaimanapun berdasarkan ramalan Arena Motosikal, harga tersebut boleh dipercayai.
Sementara itu, Honda CB500X 2021 juga telah disahkan tiba di pasaran Malaysia oleh Honda BigWing Johor Bahru, yang menampilkan tiga pilihan warna baharu dengan subframe di bahagian belakang berwarna merah. Ketiga-tiga skim warna baharu untuk CB500X itu ialah Grand Prix Red, Matt Axis Grey Metallic dan Pearl Metalloid White.
Setakat ini BSH belum mengeluarkan siaran akhbar rasmi mengenai pelancaran Honda CB500X 2021 terbaharu, mungkin ianya akan diedarkan kepada pihak media dalam masa terdekat. Untuk pasaran Malaysia, model kembara tersebut dijual pada harga sebanyak RM 36,099.00, menurut sumber daripada Honda BigWing Johor Bahru.