SWM Varez 125 2020 di pasaran Itali, jentera naked 125cc

Jenama pengeluar motosikal SWM (Speedy Working Motors) yang berasal dari Itali mempunyai rangkaian model-model motosikal dalam kategori Enduro, Supermotard, Classic, On Road dan juga Naked. Salah sebuah model naked yang ditawarkan ialah SWM Varez 125 2020, boleh didapati dalam dua skim pilihan warna yang menarik.

Model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 124.7cc (single cylinder, 4 stroke, DOHC) yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Jumlah kuasa dan tork untuk enjin bertaraf Euro 4 itu bagaimanapun tidak didedahkan di dalam laman sesawang SWM. Ketinggian tempat duduk SWM Varez 125 ialah 820 mm dan mempunyai berat 136 kg.

Beralih ke bahagian sistem suspensi, ianya terdiri daripada fork depan jenis upside-down 41 mm yang digandingkan dengan suspensi belakang monoshock dengan ciri prabeban yang boleh dilaraskan. Brek cakera depan bersaiz 300 mm dan belakang 220 mm pula hadir dengan sistem CBS untuk operasi pemberhentian yang lebih cekap.

SWM Varez 125 berdiri di atas sepasang tayar dalam siri 110/70 – 17 M/C 54S (depan) dan 140/70 – 17 M/C 66S (belakang), yang mana kedua-dua tayar tersebut datangnya daripada model Michelin Pilot Street. Menyerlahkan lagi penampilannya ialah kehadiran lampu depan bulat, panel meter digital, lampu LED dan rekaan ekzos yang garang.