Suzuki Smash Fi 2020 di pasaran Indonesia, adakah ianya calon kapcai Suzuki untuk pasaran Malaysia?

Sejak beberapa bulan yang lepas, Suzuki Malaysia telah menghadirkan berita gembira mengenai kemungkinan melancarkan kembali beberapa buah model terbaharu di bawah 250cc untuk pasaran Malaysia. Antara model-model yang bakal dilancarkan itu termasuklah dalam kategori kapcai dan moped yang mempunyai nilai pasaran luas.

Bagaimanapun sehingga kini Suzuki Malaysia kembali menyepi dan situasi yang agak pelik itu telah menimbulkan kehairanan di kalangan peminat motosikal tempatan. Lebih dari itu ramai peminat tegar Suzuki yang selama ini ternanti-nantikan comeback atau kepulangan semula Suzuki Malaysia mula merasa kecewa dan hilang kepercayaan.

Namun begitu Suzuki Malaysia dijangka akan tetap memperkenalkan barisan model-model baharu untuk pasaran Malaysia, paling awal pada tahun hadapan. Salah sebuah model yang dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia nanti ialah model kapcai Suzuki Smash Fi yang ketika ini turut ditawarkan di pasaran Indonesia.

Suzuki Smash Fi versi terdahulu sebenarnya pernah ditawarkan di pasaran Malaysia, namun untuk versi terkini di pasaran Indonesia, Suzuki Smash Fi 2020 tampil dengan reka bentuk baharu yang kelihatan lebih sporty namun mengekalkan perwatakannya yang serderhana. Yang penting ianya sesuai dijadikan sebuah kenderaan harian.

Suzuki Smash Fi 2020 di pasaran Indonesia dikuasakan enjin 113cc (4-lejang, SOHC, 2-injap, sejukan udara) yang digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan berputar. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 9.3PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 9.1Nm @ 6,00rpm, memadai untuk motosikal dengan berat maksimum 94 kg itu.

Enjin yang menjimatkan penggunaan bahan api itu dilengkapi sistem fuel injection, dan apabila dipadankan dengan kapasiti tangki bahan api maksimum 3.7 liter, ianya mampu menawarkan perjalanan harian yang lebih jauh. Ruang di bawah tempat duduk pula menawarkan kemudahan untuk simpanan barang-barang dengan keluasan 8.0 liter.

Suzuki Smash Fi 2020 turut dilengkapi sistem penghidup tendang dan elektrik, fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, brek depan cakera dan brek belakang dram, speedometer yang moden dan bergaya, serta pilihan rim aloi dan rim berjejari dengan tayar berukuran 70/90-17 (depan) dan 80/90-17 (belakang).

Untuk pasaran Indonesia, Suzuki Smash Fi 2020 dalam versi rim aloi ditawarkan pada harga Rp 16,850,000, bersamaan RM 4,858.92. Untuk versi rim berjejari pula, harganya adalah sebanyak Rp 16,100,000, bersamaan RM 4,642.64. Tiga pilihan warna menarik yang disediakan ialah Cdy. Summer Red, Met. Medium Blue dan Titan Black.

Jika Suzuki Smash Fi ini kembali ke pasaran Malaysia pada harga yang berpatutan, sudah pasti ianya akan mendapat sambutan daripada para peminat dan juga pengguna motosikal di pasaran tempatan. Cuma persoalannya ialah bilakah Suzuki Malaysia akan melancarkan barisan model-model baharu keluarannya untuk pasaran Malaysia?

Artikel Popular Minggu Ini :