SYM Maxsym 400 2021 tampil futuristik, lebih berteknologi

Salah sebuah model terbaharu yang diperkenalkan oleh SYM baru-baru ini ialah skuter maxi SYM Maxsym 400 2021, yang mana ianya kini dilengkapi enjin berprestasi yang memenuhi piawaian emisi Euro 5 sepenuhnya. Penampilannya juga kelihatan moden dan futuristik, di samping sarat dengan pelbagai teknologi terkini yang canggih.

Dari segi penampilannya, SYM Maxsym 400 2021 menawarkan rekaan lampu depan LED dengan personaliti yang tersendiri, paparan jelas material aloi aluminium yang menyokong skring penghadang angin sebagai elemen berteknologi tinggi dan lampu belakang LED yang direka khas dengan gaya futuristik dan identiti yang unik.

Ciri-ciri moden dan canggih yang melengkapi SYM Maxsym 400 pula antaranya seperti Traction Control System (TCS), Advanced Brake Light (ABL) yang memberikan amaran kepada penunggang di belakang dalam situasi kecemasan, kerangka yang kuat dan ringan, sistem Air Intake yang cekap, suspensi belakang dengan lima tahap pelarasan dan penggunaan Roller Rocker Arm yang memberikan lebih manfaat kepada enjin.

SYM Maxsym 400 2021 juga didatangkan ciri-ciri yang mesra pengguna seperti Keyless System, skrin penghadang angin yang boleh dilaraskan dengan mudah, tuil dengan ciri pelarasan empat tahap, bukaan tempat duduk yang lebar, ruang bagasi yang luas dan boleh memuatkan dua buah helmet, sistem brek parking 2 dalam 1, cermin pandang belakang yang boleh dilipat dan turut tersedia port pengecasan pantas USB QC 3.0.

Dikuasakan enjin bersesaran 399cc (1-cylinder, Liquid-cooled, 4-stroke, OHC, 4-valve) yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT, SYM Maxsym 400 menawarkan prestasi maksimum pada angka 34PS @ 6,750rpm dengan tork maksimum 39.5Nm @ 5,250rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh sehingga 13 liter, yang mampu pergi lebih jauh apabila dipadankan dengan enjinnya yang sangat cekap.

Aspek keselamatan ditugaskan kepada sistem brek cakera depan dan belakang dengan ukuran diameter masing-masing 275 mm, dan kedua-duanya dilengkapi sistem ABS untuk ciri keselamatan yang lebih baik. Tayar depan dan belakang mempunyai saiz 120 / 70-R15 dan 160 / 60-14, menjadikan ketinggian tempat duduknya kepada 800 mm.