Honda CMX1100 Rebel 2021 diperkenalkan untuk pasaran Eropah, dilengkapi enjin 1,084cc CRF1100L Africa Twin

Untuk pasaran Malaysia dalam bulan September yang lepas, Boon Siew Honda telah melancarkan model Honda Rebel 500 2020. Bagaimanapun untuk anda yang mungkin merasakan enjin 471cc pada model cruiser berkenaan terlalu kecil, mungkin kini boleh mengharapkan kedatangan model terbaharu Honda CMX1100 Rebel 2021.

Baru saja diperkenalkan di pasaran Eropah, Honda CMX1100 Rebel sememangnya telah memberikan kejutan apabila ianya dilengkapi enjin 1,084cc yang diambil daripada model Honda CRF1100L Africa Twin. Sistem transmisi yang ditawarkan pula sama ada manual enam kelajuan atau DCT (Dual Clutch Transmission) enam kelajuan.

Enjin tersebut (SOHC liquid-cooled 4-stroke 8-valve parallel twin with 270° crank and Uni-cam, Euro 5 compliant) menghamburkan kuasa maksimum 87PS @ 7,000rpm dengan tork maksimum 98Nm @ 4,750rpm. Bersama-sama ketinggian tempat duduk hanya 700 mm, berat penuh 223kg (MT) / 233kg (DCT) dan enjin yang berprestasi tinggi, CMX1100 Rebel pastinya menawarkan ciri tunggangan yang menyeronokkan.

Lebih dari itu, ianya juga dilengkapi sistem Throttle By Wire (TBW) yang menguruskan prestasi dan perwatakan enjin, dengan tambahan pengurusan tahap Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control. Dengan pilihan tiga mod tunggangan iaitu Standard, Rain dan Sport, termasuk mod tambahan User, penunggang boleh memilih sendiri mod tunggangan yang dimahukan berdasarkan pelbagai situasi tunggangan.

Sistem suspensi Honda CMX1100 Rebel  merupakan gabungan di antara fork depan “preload adjustable 43mm cartridge style” dengan penyerap hentak belakang “preload adjustable twin piggyback rear shock”, yang menawarkan bukan saja keselesaan malah ciri pengendalian yang cemerlang. Untuk keselamatan, brek cakera depan 330 mm (radial mounted monoblock four-piston brake caliper) digandingkan dengan brek cakera belakang 256 mm, lengkap dengan sistem ABS dua saluran (2-channel ABS).

Honda CMX1100 Rebel 2021 turut tampil dengan lampu bulat yang bergaya ‘old-school’ bersama-sama mentol LED, panel instrumen digital LCD, tangki bahan api 13.6 liter, roda depan 130/70B18 dan roda belakang 180/65B16, dua pilihan warna Gunmetal Black Metallic dan Bordeaux Red Metallic, serta pelbagai pilihan aksesori asli Honda.