Triumph Trident 660 2021 kini di pasaran Thailand, harga jualan bersamaan RM 41,758.47

Model terbaharu Triumph Trident 660 2021 baru saja dilancarkan di pasaran UK pada penghujung Oktober yang lalu, dan kini model tersebut telah pun berada di pasaran Thailand. Harga yang ditawarkan boleh dikatakan kompetetif iaitu THB 309,000 (On The Road), bersamaan dengan nilai RM 41,758.47 mengikut kadar semasa.

Triumph Trident 660 juga akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dengan jangkaan harganya tidak jauh berbeza dengan harga di pasaran Thailand. Apa yang boleh diramalkan ialah harganya di pasaran Malaysia kelak tidak akan melebihi RM 45k, berada dalam lingkungan yang sama dengan harga model Honda CB650R.

Antara kelebihan Triumph Trident 660 ialah ianya dilengkapi enjin tiga silinder sebaris dengan kapasiti 660cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC), dipadankan kotak gear enam kelajuan dengan sistem assist & slipper clutch, dan seterusnya menghasilkan kuasa maksimum sehingga 81PS @ 10,250rpm dengan tork puncak 64Nm @ 6,250rpm.

Selain itu ianya juga dilengkapi sistem suspensi berprestasi tinggi daripada Showa, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, panel instrumen TFT berwarna, sistem lampu LED sepenuhnya, mod tunggangan Road dan Rain, ‘switchable traction control (integrated into the riding modes)’ dan sistem pendikit canggih Ride by Wire.

Mempunyai rekaan dan penampilan yang sporty dan menawan, Triumph Trident 660 dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter. Beratnya pula berada pada tahap 189 kg (wet weight). Empat pilihan warna yang disediakan pula pastinya memberi peluang kepada bakal pembeli bagi memenuhi citarasa masing-masing.

(Visited 2,053 times, 1 visits today)