Wuyang-Honda Motors lancar model skuter baharu NX125 2020 untuk pasaran China

Wuyang-Honda Motors baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model skuter terbaharu NX125 2020 untuk pasaran China. Reka bentuk model skuter tersebut boleh dikatakan anggun dan sporty, serta tampil menyerlah dengan rekaan lampu depan dan lampu posisi LED yang agresif, begitu juga dengan rekaan lampu belakangnya.

NX125 dilengkapi enjin bersesaran 125cc (four stroke, single cylinder, air-cooled) yang dipadankan teknologi PGM-Fi dan transmisi automatik, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 8.85hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 9.87Nm @ 6,000rpm. Mempunyai berat hanya 106 kg, NX125 dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 88 km/j.

Tangki bahan api Wuyang-Honda NX125 hadir dengan kapasiti maksimum 6 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah panel meter digital LCD, port pengecas USB, ruang barangan terbuka di bahagian depan dan ruang barangan di bawah kusyen yang mencukupi untuk muatan barangan peribadi.

Untuk ciri keselamatan yang lebih terjamin, ianya didatangkan brek cakera depan dengan sistem CBS dan brek belakang jenis dram. Tayar depan dengan rim berukuran 12 inci pula menawarkan keselesaan tunggangan dan prestasi yang lebih baik. NX125 2020 turut dilengkapi pemijak kaki aluminium boleh lipat pada posisi yang ideal.

(Visited 61 times, 1 visits today)