Sempena kejuaraan MotoGP, Suzuki memperkenalkan GSX-R150 MotoGP Limited Edition 2020 di pasaran Indonesia

PT. Suzuki Indomobil Sales (SIS) pada penghujung Oktober dengan rasminya telah melancarkan Suzuki GSX-R150 MotoGP Limited Edition 2020 untuk pasaran Indonesia. Pelancaran model tersebut adalah bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-100 Suzuki di peringkat global dan sambutan ulangtahun kali ke-50 di pasaran Indonesia.

Lebih manis lagi pelancaran Suzuki GSX-R150 MotoGP Limited Edition 2020 dengan skim warna jentera perlumbaan pasukan Team Suzuki Ecstar itu juga bertepatan sekali dengan kejayaan pasukan tersebut, yang mana baru-baru ini telah merangkul kejuaraan MotoGP 2020, melalui pelumba handalan yang sedang meningkat naik Joan Mir.

Tampil dengan pilihan warna Solarize Silver – Met. Triton Blue, penampilan Suzuki GSX-R150 versi MotoGP Limited Edition itu kini semakin sporty dan bergaya dan pastinya akan menarik perhatian ramai. Berikut ialah kata-kata Yohan Yahya, daripada bahagian Sales & Marketing 2W Department Head PT. Suzuki Indomobil Sales ;

“Semenjak Team Suzuki Ecstar MotoGP memperkenalkan desain livery terbarunya tahun ini, banyak konsumen Suzuki menanyakan apakah mereka bisa memiliki produk Suzuki dengan gaya serupa? Terlebih banyak podium juara yang sudah diraih menjadi tambahan kebanggan tersendiri bagi para penggemar kami.

Dari sana, SIS mencoba mengakomodir minat tersebut, dan sekaligus memanfaatkan perayaan 100 tahun Suzuki di Dunia, dan 50 tahun di Indonesia. Momentum inilah yang kami rasa tepat untuk segera meluncurkan penyegaran warna terbaru dengan semangat yang sama dengan Team Suzuki Ecstar MotoGP.

Persembahan spesial Suzuki GSX-R150 MotoGP 2020 Edition ini betul-betul pilihan menarik dan memiliki nilai historis yang tinggi. Suzuki ingin konsumennya tidak hanya memiliki sepeda motor dengan gaya MotoGP, namun ikut merasakan menjadi bagian dari perjalanan 100 tahun Suzuki di Dunia dan 50 tahun di Indonesia”. 

Suzuki GSX-R150 MotoGP Limited Edition 2020 ditawarkan pada harga sebanyak Rp 31,600,000 untuk varian Keyless Ignition – non ABS (on the road DKI Jakarta), dan akan berada di pasaran Indonesia mulai bulan November 2020. Harga tersebut bersamaan dengan nilai RM 8,994.57 mengikut kadar tukaran semasa.

Suzuki GSX-R150 dibekalkan enjin berprestasi tinggi berkapasiti 150cc dengan teknologi fuel injection dan sistem DOHC (Double Over Head Camshaft), menghasilkan kuasa maksimum 18.9hp @ 10,500rpm dengan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm. Kuasa yang dihasilkan itu disalurkan ke jalan raya melalui transmisi enam kelajuan.

Seiring dengan perkembangan zaman, Suzuki GSX-R150 turut dilengkapi pelbagai ciri-ciri yang sarat dengan teknologi tinggi, antaranya ialah Digital Instrument Cluster, Keyless Ignition System, Easy Start System dan LED Headlight. Ciri-ciri terkini tersebut memberikan nilai tambah yang dapat dirasakan secara langsung oleh pemiliknya.

(Visited 174 times, 1 visits today)