Model baharu Triumph Tiger 850 Sport 2021 diperkenalkan, harga bermula dari £9,300.00

Triumph dengan rasminya memperkenalkan model baharu Tiger 850 Sport 2021, yang dilengkapi enjin 888cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder, Euro 5) dengan kuasa maksimum 85PS @ 8,500rpm dan tork 82Nm @ 6,500rpm. Saluran kuasa ke permukaan jalan raya seterusnya ditugaskan kepada kotak gear enam kelajuan.

Dua pilihan warna yang ditawarkan untuk model berkenaan ialah Graphite Diablo Red dan Graphite Caspian Blue. Untuk pasaran UK, Triumph Tiger 850 Sport boleh dimiliki pada harga bermula dari £9,300.00, bersamaan nilai RM 50,412.08 mengikut kadar semasa. Ini menjadikannya sebuah model kelas pertengahan yang lebih mampu milik berbanding model Tiger 900 yang ditawarkan pada harga bermula dari £11,100.00.

Antara peralatan dan teknologi berspesifikasi tinggi yang dipasangkan pada Tiger 850 Sport ialah sistem brek Brembo Stylema dengan cakera berkembar 320 mm, fork depan Marzocchi jenis terbalik dengan ciri preload-adjustable, panel instrumen TFT 5 inci, mod tunggangan Road dan Rain (with dedicated throttle and traction control maps), sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu DRL, sistem Assist & Slipper Clutch, skrin penghadang angin boleh laras, sistem ABS dan juga Switchable Traction Control.

Triumph Tiger 850 Sport 2021 turut dilengkapi soket pengecas 12V khusus untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, corak tunggangan yang ergonomik dan selesa, serta kapasiti maksimum tangki bahan bakar 20 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Tayar depan dan belakangnya masing-masing didatangkan dalam saiz 100/90-R19 dan 150/70R17, sementara berat kering jentera touring itu ialah 192 kg.

Menurut Triumph, terdapat sehingga 60+ pilihan aksesori asli yang disediakan untuk Tiger 850 Sport, demi meningkatkan lagi keupayaannya, gaya dan ciri-ciri keselamatan, termasuklah kelengkapan bagasi. Jika dilancarkan di pasaran Malaysia, tentu ramai yang berpeluang untuk memiliki sebuah Tiger pada harga yang lebih mampu milik.

(Visited 89 times, 1 visits today)