Ducati memperkenalkan Panigale V4 SP 2021, tampil lebih ringan dengan rim karbon

Ducati meluaskan lagi rangkaian model Panigale V4 dengan memperkenalkan model terbaharu Ducati Panigale V4 SP 2021, yang akan ditawarkan dalam jumlah terhad. Model tersebut berbeza dengan model Panigale V4 S 2021, terutamanya di bahagian livery dan kepala handlebar yang memaparkan nombor bilangan edisi terhadnya.

Ducati Panigale V4 SP juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan spesifik demi meningkatkan prestasi dinamiknya apabila digunakan di litar, seterusnya mengurangkan beratnya sehingga 1 kg berbanding Panigale V4 S, kepada berat kering hanya 173 kg. Livery “Winter Test” pada model berkenaan diilhamkan daripada jentera Ducati Corse yang pernah digunakan dalam latihan pra-musim kejuaraan MotoGP dan SBK.

Panigale V4 SP juga menyerlah dalam caranya yang tersendiri apabila mempunyai kandungan yang dibawakan daripada model Superleggera V4, seperti rim karbon lima bilah yang ringan, kaliper brek depan Brembo Stylema R yang eksklusif dan pam brek Brembo dengan MCS (Multiple Click System) dan peranti “remote adjusting”.

Enjin Desmosedici Stradale pada model SP dilengkapi  klac jenis kering, yang mana ianya lebih efektif, dan dipadankan dengan rantai pemacu akhir 520 pitch yang lebih ringan daripada produksi biasa. Enjin Euro 5 bersesaran 1,103cc itu menghamburkan kuasa maksimum 214hp @ 13,000rpm dengan tork maksimum 124Nm @ 9,500rpm.

Peralatan pada Panigale V4 SP dilengkapkan oleh pemijak kaki penunggang buatan aluminium billet yang boleh dilaraskan kedudukannya, oleh mudguard depan karbon dan pilihan aksesori yang boleh digunakan pada sesi ‘track days’ seperti ‘open carbon clutch cover’, ‘license plate holder removal cover’, ‘mirror holes cover in billet aluminium’ dan termasuklah ‘Ducati Data Analyzer + (DDA +) kit with GPS module’.

Seterusnya pakej elektronik berasaskan 6-axis BOSCH IMU yang melengkapi Panigale V4 SP adalah seperti dalam senarai berikut :

  • Bosch EVO Cornering ABS
  • Ducati Traction Control EVO 3 (DTC EVO 3)
  • Ducati Slide Control (DSC)
  • Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO)
  • Ducati Power Launch (DPL)
  • Ducati Quick Shift up / down EVO 2 (DQS EVO 2)
  • Engine Brake Control EVO (EBC EVO)
  • Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO)

Menurut Ducati, Panigale V4 SP 2021 merupakan jentera yang ideal untuk penunggang amatur yang mahu menduga litar dan merasai kelajuan dengan segera. Juga dikatakan penunggang amatur pada model “SP” akan menjadi lebih pantas berbanding jika dia menunggang Panigale versi “R” yang menuntut lebih banyak tahap kemampuan.