Ducati memperkenalkan model baharu Scrambler Nightshift untuk musim 2021

Menjelang musim 2021, Ducati memperkenalkan beberapa buah model scrambler terbaharu, salah satu daripadanya ialah Ducati Scrambler Nightshift. Model tersebut didatangkan dalam pilihan warna tunggal Aviator Grey dengan harganya bermula 10,990€ untuk pasaran Eropah, bersamaan RM 53,250.09 mengikut kadar semasa.

Ducati Scrambler Nightshift dilengkapi enjin bersesaran 803cc (L-Twin, Desmodromic distribution, 2 valves per cylinder, air cooled) yang patuh piawaian Euro 5, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah maksimum kuasa enjinnya adalah sebanyak 73hp @ 8,250rpm bersama-sama tork setinggi 66,2Nm @ 5,750rpm.

Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan upside-down Kayaba 43 mm, dengan penyerap hentak belakang monoshock juga dari Kayaba dengan pre-load adjustable. Sistem brek depannya dilengkapi cakera tunggal 330 mm dengan kaliper radial empat piston, manakala di belakangnya ialah cakera tunggal 245 mm dengan kaliper terapung satu piston. Kedua-duanya didatangkan standard sistem Bosch Cornering ABS.

Antara kelengkapan standard lain untuk Ducati Scrambler Nightshift ialah tempat duduk rata mengikut gaya model Cafe Racer, handlebar yang lurus, cermin pandang belakang Cafe Racer dan plat number mengikut gaya model Full Throttle. Model tersebut juga hadir dengan perincian seperti penunjuk lampu posisi LED di depan dan belakang.

Ducati Scrambler Nightshift turut dilengkapi panel meter digital LCD, ruang kompatmen di bawah tempat duduk dengan pengecas USB, tayar depan dan belakang Pirelli MT 60 dalam saiz 110/80 R18 (depan) dan 180/55 R17 (belakang), serta bersedia untuk sistem DMS (Ducati Multimedia System). Kapasiti tangki bahan apinya ialah 13.5 liter.

Dengan ketinggian tempat duduk hanya 798 mm, berat kering 180 kg dan pusat graviti yang rendah, Ducati Scrambler Nightshift menawarkan keselesaan dan pengendalian yang menyeronokkan. Bersesuaian dengan namanya, Ducati Scrambler Nightshift 2021 kini bersedia untuk meredah atmosfera malam dengan gaya sporty yang tersendiri.

Artikel Popular Minggu Ini :