TVS Apache RTR 200 4V 2020 dilancarkan di pasaran India, dilengkapi ciri-ciri yang pertama di dalam segmennya

Pada awal bulan November yang lepas, TVS Motor Company telah memperkenalkan model TVS Apache RTR 200 4V 2020 terbaharu untuk pasaran India, bagi meraikan pencapaian jualan global sebanyak 4 juta unit motosikal bagi jenama berkenaan.

Model tersebut diperkenalkan dengan beberapa ciri baharu yang dikatakan sebagai yang pertama di dalam segmennya, merangkumi tiga mod tunggangan iaitu Urban Mode, Rain Mode dan Sport Mode, sistem suspensi depan dan belakang daripada Showa dengan ciri boleh laras, serta tuil brek dan klac juga dengan ciri pelarasan.

Ciri-ciri lain yang melengkapi jentera naked TVS Apache RTR 200 4V terbaharu itu termasuklah sistem sambungan SmartXConnect, sistem brek ABS dua saluran dengan RLP (Rear wheel Lift-off Protection), RT Slipper Clutch (Race Tuned Slipper Clutch), Glide Through Technology dan lampu depan LED dengan rekaan yang agresif.

Seterusnya ialah penampilan grafik dan jalur baharu yang lebih segar dengan pilihan warna bercirikan perlumbaan, dilengkapi tayar radial berprestasi tinggi, sistem ekzos perlumbaan double-barrel yang menghasilkan bunyi yang tersendiri, pengurangan berat terkini kepada hanya 152 kg, dan tangki bahan api dengan kapasiti penuh 12 liter.

TVS Apache RTR 200 4V 2020 dilengkapi enjin bersesaran 197.75cc (SI, 4 stroke, Oil Cooled, Fi) dengan transmisi lima kelajuan, dan menghasilkan kuasa yang berbeza mengikut mod tunggangan. Bagi mod Sport, kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 20.8PS @ 9,000rpm dengan tork puncak 17.25Nm @ 7,250rpm.

Bagi mod Urban dan Rain pula, kuasa maksimum yang dihasilkan sedikit berkurangan iaitu 17.3PS @ 7,800rpm dengan tork puncak 16.51Nm @ 5,750rpm. Aspek kelajuan pula memperlihatkan ianya mampu mencapai kelajuan maksimum 127 km/j dengan mod Sport, dan kelajuan maksimum 105 km/j dengan mod Urban dan Rain.

TVS Apache RTR 200 4V 2020 boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl White, Gloss Black dan warna baharu Matte Blue. Warna Matte Blue itu dikatakan diinspirasi daripada warna jentera perlumbaan TVS OMC. Harga yang ditawarkan pula adalah sebanyak ₹. 1,31,050, bersamaan RM 7,249.80 mengikut kadar semasa.

Untuk pasaran Malaysia, TVS Motor Company sejak tahun 2018 telah menawarkan model TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0. Dijual pada harga RM 8,950.00, ianya diedarkan di pasaran tempatan oleh syarikat Daju Motors Sdn. Bhd.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?