Skuter Yamaha Vinoora 2020 tampil bagaikan watak animasi

Pasaran skuter di negara Taiwan boleh dikatakan sangat besar, jadi tidaklah menghairankan jika Yamaha turut menawarkan pelbagai pilihan model skuter yang menarik. Terkini Yamaha telah memperkenalkan sebuah model skuter terbaharu Yamaha Vinoora 2020, yang tampil comel bagaikan watak animasi terkenal.

Yamaha Vinoora dilengkapi lampu depan LED jenis berkembar berbentuk bulat, yang mana rekaannya mirip sepasang mata. Lampu belakang juga daripada jenis LED dan berbentuk bulat yang sama. Bahagian depannya yang kelihatan sedikit mendongak membolehkan kita semua membayangkan watak Suneo di dalam kartun Doraemon.

Model skuter tersebut dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 125cc (Air-cooled four-stroke single cylinder 2V) yang dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Yamaha Vinoora turut dilengkapi teknologi Smart Start System (Smart Motor Generator), pengecas USB, storan di bawah tempat duduk dan tangki bahan api 4.0 liter.

Yamaha Vinoora mempunyai berat hanya 94 kg dengan ketinggian tempat duduk 745 mm, menjadikannya stabil dan selesa apabila ditunggang serta mudah dikawal. Suspensi depannya merupakan sepasang fork teleskopik, manakala di bahagian belakangnya ialah suspensi belakang tunggal yang terpasang di sisi sebelah kiri.

Untuk pemberhentian yang selamat dan cekap, Yamaha Vinoora dilengkapi brek cakera depan dengan gandingan brek belakang jenis dram. Tayar depan dan belakangnya  didatangkan dalam ukuran yang sama iaitu 90/90-R10. Selain versi standard, Yamaha Vinoora 2020 untuk pasaran Taiwan ini turut ditawarkan dalam varian Vinoora M.

(Visited 72 times, 1 visits today)