Skuter Honda BeAT 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, naik taraf terkini bersama-sama teknologi baharu

Boon Siew Honda baru-baru ini secara rasminya melancarkan skuter Honda BeAT 2020 terbaharu, yang kini menampilkan pelbagai ciri-ciri baharu dan terkini. Harga asasnya ditetapkan pada RM 5,555.00 (tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran), dengan jaminan pembuatan selama 2 tahun atau 20,000 km (mana yang terdahulu).

Honda BeAT baharu kini dikuasakan oleh enjin eSP baharu dengan teknologi PGM-FI, mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 8.67hp (6.47kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.53Nm @ 5,500rpm. Mematuhi piawaian Euro 4, ianya telah memenuhi standard sebagai kenderaan cekap tenaga EEV (Energy Efficient Vehicle) dengan peningkatan prestasi penggunaan bahan api sebanyak 59.1 km / liter (mod ujian WMTC) sambil memberikan prestasi menunggang yang optimum.

Keselesaan menunggang yang lebih baik kini dicapai dengan penggunaan kerangka baharu yang mudah dikendalikan dengan inovasi teknologi terbaharu eSAF (enhanced Smart Architecture Frame), bagi menghasilkan sebuah motosikal yang berprestasi tinggi dan ekonomik, membolehkan penggunaan ruang penyimpanan yang lebih baik.

Hasilnya, tangki minyak dan ruang penyimpanan di bawah tempat duduknya kini lebih besar. Kapasiti tangki minyak kini meningkat dari 4.0 liter kepada 4.2 liter untuk mengurangkan hentian isian bahan bakar, dan kapasiti ruang penyimpanan barangan kini 11.7 liter, yang merupakan kenaikan 0.5 liter daripada model terdahulu. Berat keseluruhan Honda BeAT 2020 juga telah dikurangkan sebanyak 4 kg kepada 90 kg.

Honda BeAT kini menampilkan lampu depan LED baharu, meter kelajuan reka bentuk baharu, cermin sisi yang direka semula, rim yang dikemas kini, tuas penguncian brek baharu dan pembuka tempat duduk juga baharu. Lampu belakangnya juga telah dipertingkatkan dengan lampu belakang dan lampu isyarat serba baharu.

Boon Siew Honda meneruskan usahanya dengan mengutamakan keselamatan jalan raya, dan Honda BeAT 2020 baharu ini terus menggunakan sistem brek CBS (Combi Brake System), iaitu sistem brek hak cipta Boon Siew Honda, yang memungkinkan jarak hentian yang lebih pendek dan memberikan kawalan jentera yang lebih baik.

Ianya juga dilengkapi sistem hentian pintar Smart Lock System, yang memastikan brek kekal aktif sebelum menghidupkan atau memberhentikan motosikal dengan selamat, bagi mengelakkan pergerakan motosikal yang tidak disengajakan. Selain itu, suis tongkat sisi secara automatik akan mematikan enjin apabila tongkat sisi diturunkan.

Skuter Honda BeAT 2020 terbaharu yang bergaya ini hadir dalam empat warna gaya hidup aktif iaitu Vivacity Red, Force Silver Metallic, Pearl Nightfall Blue dan Space Magenta Metallic.

(Visited 115 times, 1 visits today)