Yamaha E-Vino 2021 terima kemaskini warna baharu, pertama kali sejak tahun 2015

Yamaha E-Vino ialah sebuah model skuter elektrik yang comel dan ditawarkan di pasaran domestik Jepun sejak tahun 2015. Ianya diasaskan daripada model skuter Vino dan merupakan model elektrik keempat keluaran Yamaha. Untuk model tahun 2021, buat pertama kalinya Yamaha E-Vino akan menerima kemaskini warna baharu.

Dua pilihan warna baharu itu ialah warna dua tona “Yellow / White” dan warna tunggal “White”, bersama-sama grafik yang diubah daripada warna hitam kepada gelap. Sebagai tambahan, panel meter kini menggunakan latar berwarna putih. Yamaha E-Vino 2021 akan dilancarkan di pasaran Jepun pada tarikh 20hb. November 2021.

Yamaha E-Vino mempunyai keupayaan perjalanan sejauh 29 km dengan sekali cas penuh. Ianya juga ditawarkan bateri simpanan yang dijual secara berasingan, boleh dibawa dengan meletakkannya di dalam ruang simpanan di bawah tempat duduk. Bateri simpanan yang kompak itu boleh ditukar dengan mudah apabila diperlukan.

Untuk pengecasan, bateri lithium-ion Yamaha E-Vino perlu dikeluarkan dan dicas di dalam rumah (indoor) dalam suhu persekitaran antara 15 ° C sehingga 25 ° C. Tempoh masa pengecasan sehingga penuh adalah sekitar 3 jam. Kuasa maksimum yang dihasilkan berada pada angka 1.6PS @ 3,760rpm dengan tork 7.8Nm @ 330rpm.

Yamaha E-Vino 2021 mempunyai berat hanya 68 kg (termasuk bateri), dilengkapi tayar depan dan belakang tanpa tiub dalam saiz yang sama iaitu 90/90-10 41J dan sistem brek depan dan belakang jenis dram. Ketinggian tempat duduk model skuter elektrik itu ialah 715 mm dengan kapasiti tunggangan untuk seorang individu sahaja.

(Visited 62 times, 1 visits today)