Skuter premium Honda Forza 750 2021 diperkenalkan, hadir bersama-sama Forza 350 dan Forza 125

Honda Motor Europe kelmarin dengan rasminya memperkenalkan model skuter premium terbaharu Honda Forza 750 2021. Turut diperkenalkan bersama-sama ialah model skuter Honda Forza 350 2021 dan Honda Forza 125 2021. Ketiga-tiga model tersebut menawarkan prestasi, keselesaan, teknologi dan ciri-ciri yang praktikal.

Honda Forza 750 tampil dengan enjin parallel twin bersesaran 750cc, dengan pelbagai ciri-ciri canggih termasuklah teknologi throttle by wire, beberapa pilihan mod enjin, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Dual Clutch Transmission. Honda Forza 750 dikatakan model GT sebenar yang selesa untuk penunggang dan pembonceng.

Honda Forza 750 mempunyai reka bentuk yang sporty dan menawan, dengan sistem lampu LED sepenuhnya dan ciri-ciri praktikal seperti Honda Smart Key, storan dalaman 22 liter dan pengecas USB. Ianya juga merupakan model pertama Honda dengan sistem Smartphone Voice Control yang boleh diintegrasikan dengan telefon pintar.

Bagi model Honda Forza 350 2021 pula, ianya merupakan naik taraf daripada model Honda Forza 300 2020, kini didatangkan kapasiti enjin 330cc yang lebih besar. Enjin eSP+ baharu pada Forza 350 memperlihatkan peningkatan kuasa yang ketara, di samping menghasilkan kuasa tork yang tinggi untuk pecutan yang lebih pantas.

Tahap ekonomi bahan api pada aras 30 km/l (WMTC Mode) dikatakan memberikan potensi jarak perjalanan sehingga 340 km+, daripada tangki petrol yang mempunyai kapasiti maksimum 11.5 liter. Seterusnya kemaskini gaya rekaan dan ciri aerodinamik Honda Forza 350 termasuklah tambahan 40 mm untuk skrin elektrik boleh laras.

Untuk Honda Forza 125 model tahun 2021, ianya kini dilengkapi HSTC sebagai ciri standard, dengan kemaskini gaya dan aerodinamik mirip Forza 350. Kedua-dua model Forza 125 dan Forza 350 mempunyai ruang yang cukup di bawah tempat duduk untuk dua helmet bersaiz penuh, juga didatangkan pengecas USB dan Honda Smart Key.

(Visited 3,851 times, 1 visits today)