BMW R 18 First Edition 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga RM 149,500.00

BMW Motorrad Malaysia pada tarikh 09hb. Oktober 2020 baru-baru ini secara rasminya melancarkan model terbaharu BMW R 18 First Edition 2020. Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak RM 149,500.00 (tidak termasuk insuran), tampil dengan gaya rekaan dan teknikal yang diinspirasikan daripada model legenda BMW R 5.

Paling menarik perhatian sudah tentu enjin terbaharu “Big Boxer” dua silinder yang berkuasa, mempunyai kapasiti 1,802cc dengan sistem transmisi enam kelajuan dan sistem pemacu ‘shaft drive’. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 91hp @ 4,750rpm dengan tork puncak 158Nm @ 3,000rpm. Menurut BMW Motorrad, lebih daripada 150Nm tork sentiasa tersedia bermula dari putaran 2,000 ke 4,000rpm.

BMW R 18 dilengkapi sistem suspensi boleh laras elektronik, sistem brek cakera berkembar di bahagian depan dan brek cakera tunggal di bahagian belakang, bersama-sama kaliper tetap empat piston, ABS dan sistem lampu LED yang canggih. Sementara itu, rim roda jenis berjejari memastikan penampilannya kekal bergaya dan elegan.

Turut tersedia ialah tiga mod tunggangan standard iaitu “Rain”, “Roll” dan “Rock”, di samping teknologi ASC (Automatic Stability Control) untuk tahap keselamatan tertinggi. MSR (engine drag torque control) juga merupakan ciri standard, manakala reverse assist dan Hill Start Control merupakan antara ciri-ciri yang tersedia sebagai pilihan.

Ketinggian tempat duduk berada pada paras 690 mm, mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 16 liter, berat keseluruhan (wet weight) 345 kg dan kelajuan maksimumnya melebihi 180 km/j. Model cruiser itu juga tampil dengan ciri-ciri eksklusif seperti kemasan hitam klasik dengan jalur cat putih, banyak permukaan berkrom, lencana tempat duduk dan lambang krom “First Edition” pada penutup sisi.

Untuk pasaran Malaysia, BMW R 18 First Edition 2020 tersedia dalam jumlah terhad 18 unit sahaja, dengan tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 3 tahun. Pemiliknya juga boleh memilih di antara pilihan aksesori yang ditawarkan. Untuk anda, saksikan galeri gambar-gambar menariknya di bawah, termasuk galeri model legenda BMW R 5.

Galeri : BMW R 18 First Edition 2020

Galeri : BMW R 5 1936

(Visited 48 times, 1 visits today)