YCRMOTOR Duacti-1199 motosikal China yang tampil sporty

Salah sebuah model motosikal terbaharu yang dilancarkan di pasaran China pada tahun ini ialah keluaran YCRMOTOR melalui model Duacti-1199. Tidak dapat dipastikan jika model tersebut akan kekal dengan nama unik seperti itu, kerana ianya bergantung kepada syarikat yang menjualnya dan di negara manakah ianya dipasarkan.

YCRMOTOR Duacti-1199 tidak dinafikan mempunyai penampilan yang bergaya dan sporty, dipercayai rekaannya mendapat inspirasi daripada model terkenal Ducati 1199 Panigale. Ianya dilengkapi enjin berkapasiti 400cc dengan keluaran kuasa maksimum 36.2hp @ 8,300rpm dan tork puncak 28Nm @ 6,200rpm.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital TFT berukuran 5.2 inci, port pengecas USB, suspensi depan upside-down, suspensi belakang monoshock, dan sistem brek ABS dua saluran dengan brek cakera berkembar di bahagian depan 300 mm dan brek cakera tunggal belakang 240 mm.

YCRMOTOR Duacti-1199 dibekalkan rim roda dengan tayar depan berukuran 110/70-R17 dan tayar belakang 150/70-R17, tangki bahan api 18 liter dan berat pada tahap 180 kg. Sama seperti model-model motosikal keluaran China yang lain, model ini juga boleh ditempah oleh pengedar dengan enjin dalam kapasiti berbeza di antara 200cc – 400cc.

(Visited 506 times, 1 visits today)