Zanella Sexy 125 merupakan model replika Yamaha 125ZR

Zanella merupakan sebuah jenama pengeluar motosikal dari Argentina, bermula sebagai sebuah syarikat sejak tahun 1948. Pada tahun 1957, Zanella mengeluarkan motosikal pertama mereka dengan kerjasama syarikat motosikal Ceccato dari Itali.

Ketika ini Zanella menawarkan pelbagai jenis model motosikal dan skuter untuk pasaran Argentina, termasuklah kenderaan ATV dan Utility, di samping topi keledar dan juga generator. Hasil pemerhatian di dalam laman sesawang Zanella mendapati kebanyakan model-model motosikal dan kenderaan keluarannya berasal dari China.

Apa yang menariknya mengenai syarikat Zanella ini ialah mereka pernah menawarkan sebuah model moped yang diberi nama Zanella Sexy 125, yang mana ianya merupakan model replika atau versi ‘copy ori’ daripada model Yamaha 125ZR Super Sport.

Berdasarkan sumber maklumat yang terhad, Zanella Sexy 125 ini dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 119.7cc dengan sistem sejukan udara, seterusnya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan setinggi 8.0hp sahaja.

Berdasarkan gambar-gambar yang diperolehi dari carian Google dan juga Facebook, Zanella Sexy 125 dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang. Sistem ekzosnya berlainan sama sekali dengan sistem ekzos yang dimiliki oleh Yamaha 125ZR.

Zanella Sexy 125 dipercayai buatan negara China, sebelum dijenamakan semula oleh Zanella untuk pasaran Argentina. Untuk pasaran Malaysia, pastinya sesuatu yang sangat mengujakan jika model ini turut ditawarkan oleh Demak suatu ketika dahulu.

(Visited 904 times, 1 visits today)