Suzuki Hayabusa 2020 di pasaran USA, harga $14,799

Suzuki Hayabusa atau Suzuki GSX1300R merupakan sebuah model motosikal legenda keluaran Suzuki, diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1999. Menurut sumber dari Wikipedia, Hayabusa pernah diiktiraf sebagai model jalanan terpantas di dunia dengan kelajuan maksimumnya di antara 303 sehingga 312 km/h (188 to 194 mph).

Sepanjang awal pengeluarannya sehingga kini, Hayabusa telah mengalami perubahan dari segi kosmetik dan warna agar penampilannya kekal segar dan relevan, namun reka bentuk asalnya yang ikonik tidak banyak berubah. Peminat motosikal di seluruh dunia pastinya sangat mengenali Hayabusa tidak kira dari tahun bila ianya dikeluarkan.

Bagi model tahun 2020, Suzuki Hayabusa masih lagi ditawarkan di beberapa pasaran negara tertentu antaranya seperti USA, Australia dan New Zealand. Dua skim pilihan warna yang ditawarkan ialah Candy Daring Red dan Metallic Thunder Gray. Harganya di pasaran USA adalah sebanyak $14,799, bersamaan RM 61,250.10 (kadar semasa).

Suzuki Hayabusa model tahun 2020 dikuasakan enjin bersesaran 1,340cc ( 4-stroke, liquid-cooled, 4-cylinder, DOHC) dengan padanan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 195hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 155Nm@ 7,200rpm. Melalui teknologi Suzuki Drive Mode Selector (S-DMS), penunggang boleh memilih antara tiga corak pemetaan enjin untuk disesuaikan dengan gaya tunggangan.

Sistem suspensi Hayabusa datangnya daripada jenama KYB dengan ciri boleh laras (adjustable compression and rebound damping and spring preload), sementara sistem brek dengan ABS dibekalkan oleh Brembo (Monobloc Radial-mount 4-piston calipers, twin disc 310mm) dan Nissin (single-piston caliper, single disc 260 mm). Tayar depan dan belakang tanpa tiub masing-masing hadir dalam siri 120/70ZR17 dan 190/50ZR17.

Dari segi dimensi, Hayabusa mempunyai saiz panjang x lebar x tinggi bersamaan 2,190 mm x 735 mm x 1,165 mm, jarak roda 1,480 mm, jarak ruang kelegaan bumi 120 mm, ketinggian tempat duduk 805 mm dan berat keseluruhan (wet weight) 266 kilogram. Untuk perjalanan jarak jauh, ianya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 21 liter.

Sejak beberapa tahun yang lalu, dikhabarkan Suzuki akan melancarkan generasi baharu Hayabusa dengan rekaan kerangka baharu dan kapasiti enjin yang lebih besar. Bagaimanapun sumber terkini dari Jepun mengatakan Suzuki Hayabusa 2021 hanya akan menerima rekaan facelift terbaharu di samping enjin dengan piawaian Euro 5.