Suzuki perkenal warna baharu untuk GSX-S750 2021

Suzuki di pasaran UK memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk model naked GSX-S750 2021, dalam skim warna biru dan hitam dengan sentuhan warna hijau fluro di samping warna kelabu dan hitam dengan rim roda berwarna biru yang terang.

Untuk pasaran UK, Suzuki GSX-S750 2021 ketika ini ditawarkan pada harga £7,249 (bersamaan RM 39,139.32) setelah ditolak tawaran diskaun semasa sebanyak £750. Jentera naked popular itu dilengkapi enjin berkapasiti 749cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, in-line four) yang berkuasa, digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 114PS @ 10,500rpm dengan tork puncak 81Nm @ 9,000rpm. Tangki bahan apinya mempunyai muatan sehingga 16 liter. Ketinggian tempat duduknya pada paras 820 mm dan jarak kelegaan bumi 135 mm.

Antara ciri-ciri teknikal lain yang melengkapinya termasuklah sistem brek ABS dengan cakera depan berkembar berukuran 310 mm, fork depan KYB jenis upside-down dengan ciri pelarasan prabeban, dan rim roda aluminium ringan yang dipasangkan tayar Bridgestone BATTLAX HYPERSPORT S21 dengan prestasi kawalan maksimum.

Suzuki GSX-S750 2021 juga dilengkapi teknologi canggih seperti Traction Control², Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System. Seterusnya panel instrumen digital LCD pada model berkenaan hadir dengan pelbagai maklumat untuk panduan pemiliknya.