Untuk memiliki sebuah jentera supersport seperti BMW S 1000 RR pastinya memerlukan modal yang besar. Sebagai contoh untuk pasaran Malaysia, harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM 116,500.00 (tidak termasuk insuran). Namun apa pendapat anda jika terdapat versi yang lebih mampu milik pada harga sekitar hanya RM 10k?
Di pasaran China baru-baru ini telah muncul sebuah model motosikal terbaharu yang diberi nama Moto S450RR, dan penampilannya saling tidak tumpah seperti model BMW S1000RR. Jika anda kurang mahir mengenai dunia motosikal, boleh jadi anda akan menyangkakan bahawa Moto S450RR ini adalah sebuah model BMW S1000RR.
Menurut sumber dari China, Moto S450RR memiliki enjin berkapasiti 450cc (dua silinder, empat injap), namun asal-usul sebenar enjin tersebut tidak dapat dipastikan. Jumlah kuasanya dikatakan mencapai sekitar 34.2hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 33Nm @ 6,000rpm. Maklumat mengenai transmisi tidak pula dimaklumkan.
Spesifikasi lain tidak kurang menariknya, seperti paparan panel meter digital, lampu depan dan belakang LED, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, dan brek depan hadir dengan cakera berkembar. Sistem brek depan dan belakang turut dilengkapi ABS. Perhatikan juga logo pada badan yang mirip logo sebenar BMW.
Harga Moto S450RR ini ialah 16,800.00 Yuan, bersamaan RM 10,240.32 sahaja mengikut kadar semasa. Harga tersebut boleh dikatakan cukup berpatutan, namun kekurangannya ialah tarafnya sebagai sebuah model motosikal klon. Tetapi rasanya menarik juga kalau dibawa masuk ke pasaran Malaysia, pasti ada yang berminat.
Sumber : ChunFengXing
Galeri : Moto S450RR 2020
Galeri : BMW S 1000 RR