Honda hari ini mengumumkan trio model 500cc keluarannya untuk pasaran Eropah iaitu Honda CBR500R 2021, Honda CB500X 2021 dan Honda CB500F 2021, tampil dengan kemaskini skim warna baharu. Pada masa yang sama ketiga-tiga model tersebut juga kini telah mematuhi piawaian EURO5, khusus untuk pasaran di seluruh Eropah.
Bagi kemaskini warna baharu, model CBR500R 2021 didapati masih ditawarkan dalam pilihan warna terdahulu iaitu Grand Prix Red, Matt Axis Grey Metallic dan Pearl Metalloid White. Namun begitu model tersebut hadir dengan rekaan grafik dan logo baharu yang lebih menyerlah, yang menonjolkan warisan sejarah perlumbaannya.
Beralih ke model kembara CB500X 2021, ianya hadir dalam tiga pilihan warna baharu yang menampilkan sub frame di bahagian belakang berwarna merah, sebagai tribute untuk model Honda CRF1100L Africa Twin. Ketiga-tiga skim warna baharu untuk CB500X itu ialah Grand Prix Red, Matt Axis Grey Metallic dan Pearl Metalloid White.
Bagi model naked CB500F 2021 pula, ianya menawarkan dua skim warna terdahulu iaitu Grand Prix Red dan Matt Gunpowder Black Metallic, di samping dua warna baharu yang dikenali dengan nama Candy Caribbean Blue Sea dan Candy Moon Glow Yellow.
Spesifikasi lain tidak diumumkan dan dipercayai tiada sebarang perubahan, di mana ketiga-tiga model berkenaan dilengkapi enjin bersesaran 471cc (Liquid-cooled, parallel twin, PGM FI) dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 47hp (35kW) @ 8,600rpm, dengan tork puncak 43Nm @ 6500rpm.
Apa yang pasti, ketiga-tiga model berkenaan kini lebih mesra alam sekitar dan rendah pengeluaran emisi karbon, berkat pematuhan piawaian EURO5 yang sememangnya lebih ketat berbanding EURO4. Setakat ini tidak dapat dipastikan bilakah trio CBR500R, CB500X dan CB500F model tahun 2021 ini akan diperkenalkan di pasaran Malaysia.