Suzuki Intruder 150 2020 dilancarkan di pasaran Vietnam

Suzuki baru-baru ini secara rasminya melancarkan model sport cruiser terbaharu Suzuki Intruder 150 2020 untuk pasaran Vietnam. Model tersebut tampil dengan reka bentuk kompak, elegan, sporty dan bergaya klasik. Ianya juga dikatakan sesuai untuk tunggangan di kawasan bandar dan untuk perjalanan jarak jauh.

Suzuki Intruder 150 dilengkapi enjin bersesaran 155cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, 2-valves, air-cooled) dengan kuasa maksimum 14hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 14Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan teknologi canggih SEP (Suzuki Eco Performance), sistem suntikan bahan api elektronik dan transmisi lima kelajuan.

Untuk pasaran Vietnam, enjin Suzuki Intruder 150 telah mematuhi piawaian emisi standard Euro 3, dan model tersebut juga menjadi model pertama Suzuki di pasaran Vietnam yang dilengkapi dengan sistem brek ABS bagi model dalam segmen 150cc.

Walau pun mempunyai penampilan klasik, Suzuki Intruder 150 tetap menawarkan ciri-ciri moden seperti lampu depan halogen dengan lampu navigasi, lampu belakang LED, kluster instrumen digital LCD dengan paparan pelbagai maklumat yang diperlukan, sistem ekzos berkembar yang sporty dan posisi tunggangan yang selesa.

Suzuki Intruder 150 2020 untuk pasaran Vietnam diimport dari India, dan tersedia dalam dua pilihan warna Perak dan Hitam – Perak. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak 89,900,000 VND, bersamaan RM 16,099.77 mengikut kadar tukaran semasa. Ianya telah pun berada di pasaran Vietnam bermula dari tarikh 21hb. September 2020.