Suzuki Raider R150 Carburator 2020 hadir dalam pilihan warna MotoGP Blue, eksklusif di pasaran Filipina

Tahun 2020 secara rasminya menandakan tahun ke-60 penglibatan Suzuki dalam arena perlumbaan. Bagi memperingati dan menghormati pencapaian tersebut, Suzuki baru-baru ini telah memperkenalkan skim warna baharu MotoGP Blue untuk model Suzuki Raider R150 Carburator 2020 khusus untuk pasaran Filipina.

Setakat ini hanya pasaran Filipina sahaja yang masih menawarkan model Raider R150 versi karburator, yang diperkenalkan pada tahun 2013 yang lalu. Model tersebut telah menerima kemaskini baharu di bahagian badan dan lampu depan, berbeza dengan versi terakhir Suzuki Belang R150 2016 di pasaran Malaysia.

Pada masa yang sama Suzuki turut menawarkan model Suzuki Raider R150 Fi dan Suzuki Raider J115 Fi untuk pasaran Filipina. Namun kedua-dua model tersebut tidak menerima warna terbaharu MotoGP Blue, menjadikan Suzuki Raider R150 Carburator tampil eksklusif dengan warna yang sangat menarik dan sporty itu.

Suzuki Raider R150 Carburator dilengkapi enjin bersesaran 147.3cc (4-stroke, oil-cooled, 4-valve, DOHC, 1-cylinder) dengan padanan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 15.4 @ 9,500rpm dengan tork 12.4Nm @ 8,500rpm. Tangki maksimum bahan apinya ialah 4.9 liter, dengan berat kering 106 kg.

Ciri-ciri lain yang melengkapi model berkenaan ialah suspensi depan fork teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, dan tayar tanpa tiub dalam saiz 70/90 – 17 38P (depan) dan 80/90 – 17 44P (belakang). Harga yang ditawarkan ialah Php 97,900.00, bersamaan RM 8,322.63 (kadar semasa).

(Visited 5,035 times, 1 visits today)