Moto S450RR 2020 kini boleh dibeli secara dalam talian

Baru-baru ini peminat dunia permotoran dikejutkan dengan kemunculan sebuah model motosikal terbaharu dari China, dikenali dengan nama Moto S450RR. Ini kerana penampilan luarannya yang mirip model supersport terkenal BMW S1000RR.

Ketika ini Moto S450RR mula ditawarkan kepada bakal pembeli melalui platform jual beli secara online, salah satu daripadanya melalui laman sesawang Made-In-China yang terkenal dengan pilihan pelbagai barangan yang ditawarkan dari China.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan, Moto S450RR tersedia dalam tiga varian, masing-masing dengan enjin 223cc (Single-Cylinder, Air-Cooled), 250cc (Double-Cylinder, 6-Speed, Air-Cooled) dan 367cc (Double-Cylinder, 6-Speed, Water-Cooled).

Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan bagi varian 223cc ialah 14.7PS @ 7,500rpm dan 15Nm @ 6,000rpm, manakala varian 250cc mempunyai kuasa 17PS @ 8,500rpm dan tork 16Nm @ 6,000rpm. Varian teratas 367cc menghasilkan kuasa maksimum 29.2PS @ 8,300rpm dengan tork puncak 28Nm @ 6,200rpm.

Kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh varian 223cc ialah 110 km/j, manakala varian 250cc dan 367cc masing-masing mempunyai kelajuan maksimum 120 km/j dan 140 km/j. Ketiga-tiga varian tersebut dilengkapi sistem brek cakera dengan ABS.

Berdasarkan pemerhatian dan bacaan melalui pelbagai sumber, kebanyakan model-model motosikal keluaran China dieksport ke pelbagai negara, seterusnya ianya dijenamakan semula mengikut kehendak syarikat tempatan yang menjualnya.

Di pasaran Malaysia ketika ini dan sebelumnya, terdapat banyak syarikat tempatan yang mengimport model-model motosikal keluaran syarikat dari China, kemudiannya memasangnya semula di sini dan dijual menggunakan jenama tempatan.

Di pasaran China, kini terdapat banyak model-model motosikal keluaran terbaharu yang canggih dan berkualiti serta mempunyai jenama sendiri yang terkenal. Bagaimanapun model-model bertaraf klon juga masih dikeluarkan dan dijual pada harga murah.

(Visited 1,450 times, 1 visits today)