Sementara kita semua menantikan ketibaan model yang ditunggu-tunggu Honda CBR250RR SP 2021 pada bulan November depan, kita imbas kembali model terdahulu Honda CBR250R 2017 yang dilancarkan pada tarikh 17hb. Mei 2017.
Model tersebut merupakan generasi terakhir CBR250R yang diperkenalkan di pasaran tempatan, dan tidak dapat dipastikan sampai tahun bilakah ianya dijual. Ketika itu juga Honda CBR250RR 2017 telah pun dilancarkan di pasaran Indonesia dan Jepun.
Oleh itu peminat motosikal tempatan khususnya peminat motosikal keluaran Honda telah mula membuat perbandingan di antara kedua-dua model berkenaan, dan sedikit sebanyak ianya telah menghilangkan minat terhadap model CBR250R.
Honda CBR250R 2017 merupakan versi kemaskini warna terbaharu, tanpa ada sebarang perubahan teknikal berbanding model-model tahun sebelumnya. Tiga pilihan warna terbaharu itu ialah Hitam, Merah ‘Millennium’ dan Kuning ‘Lemon Ice’.
Enjinnya bersesaran 249.67cc (Penyejuk Cecair, 4 Lejang, DOHC, Silinder Tunggal) dengan padanan transmisi enam kelajuan, seterusnya menawarkan kuasa maksimum 27.5PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 23.3Nm @ 7,500rpm.
Menurut BSH, enjin satu silinder yang melengkapi CBR250R berupaya mengurangkan kos penyelenggaraan berbanding enjin berbilang silinder, kerana elemen mekanikalnya yang lebih ringkas. Saiznya yang kecil juga menjadikannya lebih ringan dan seimbang.
Sewaktu ianya dilancarkan dahulu, harga asas Honda CBR250R 2017 bermula daripada RM 21,940.94 (Hitam) hingga RM 22,258.94 (Merah ‘Millennium’ dan Kuning ‘Lemon Ice’) termasuk GST (tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran).
Model tersebut juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). CBR250R merupakan sebuah model yang bagus, namun ditenggelami populariti CBR250RR yang tampil lebih sporty dan berprestasi.