Rusi Flash 150 EFI 2020 di pasaran Filipina, enjin bertaraf Euro 4, dilengkapi sistem brek ABS

Rusi Flash 150 EFI dilancarkan di pasaran Filipina dalam bulan Januari 2020 yang lepas. Mempunyai reka bentuk yang sporty, ianya dikuasakan enjin empat lejang 149.2cc dengan piawaian Euro 4, dan mempunyai sistem sejukan udara dan sistem EFI daripada jenama Delphi. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Selanjutnya, kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 10.6PS @ 7,000rpm dengan tork maksimum 11.5Nm @ 5,500rpm. Rusi Flash 150 EFI dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, kapasiti penuh tangki bahan api 5.5 liter dan berat kering motosikal 118 kg. Kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai 105 km/j.

Beralih ke bahagian suspensi, di depannya ialah fork jenis teleskopik, manakala di bahagian belakang ialah suspensi jenis monoshock. Sistem brek cakera depan bukan saja mempunyai diameter yang besar, malah turut dilengkapi dengan sistem brek ABS. Sistem brek belakang juga dilengkapi cakera, namun dengan diameter lebih kecil.

Panel meter pula merupakan gabungan digital dengan meter RPM analog, sementara lampu depan dan belakang termasuk lampu penunjuk arah semuanya jenis LED. Antara yang menarik perhatian pada model Rusi Flash 150 EFI 2020 ini ialah rim aloinya yang kelihatan agak unik, dipasangkan tayar depan 90/80-17 dan belakang 120/70-17.

Rusi Flash 150 EFI tidak dinafikan ialah motosikal buatan negara China, oleh sebab itu harganya di pasaran Filipina hanya Php 70,000.00 sahaja, bersamaan RM 5,947.30 mengikut kadar tukaran semasa. Saingannya di pasaran Filipina termasuklah model Yamaha Sniper 150, Honda Supra GTR150, Benelli RFS150i dan SYM VF3i 185.

(Visited 44,058 times, 1 visits today)