Genata XRZ di pasaran UK dilengkapi enjin 125cc, kembar kepada model Redza Velocita di pasaran Malaysia

Di pasaran Malaysia sekitar tahun 2012 yang lalu, kemunculan sebuah model motosikal terbaharu yang diberi nama Redza Velocita telah menimbulkan banyak perbincangan hangat di dalam dunia maya. Ramai yang tertarik dengan penampilannya, dan ramai juga yang masih kurang jelas mengenai asal-usul sebenar motosikal berkenaan.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Redza Velocita merupakan salah sebuah model motosikal keluaran China, yang kemudiannya dijenamakan semula di bawah jenama tempatan Redza Motorcycle khusus untuk pasaran Malaysia. Untuk pasaran UK, model yang sama dikenali dengan nama Genata XRZ, di bawah edaran syarikat Genata UK.

Cuma bezanya, Genata XRZ memiliki enjin bersesaran 125cc (Single Cylinder, SOHC 4-Stroke), manakala Redza Velocita mempunyai enjin yang lebih besar dalam sesaran 250cc. Spesifikasi Genata XRZ yang lain adalah seperti transmisi lima kelajuan, klac manual, sistem penghidup elektrik, dan kuasa maksimum 11.4hp @ 9,000rpm. Model tersebut dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 105 km/j.

Genata XRZ turut dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera, dan tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 110/70-17 dan 130/70-17. Sehingga kini Genata XRZ masih ditawarkan di pasaran UK, dengan harga terkininya ialah £ 2,179.00, bersamaan RM 11,606.86 mengikut kadar semasa.