Yamaha MT-15 2020 di pasaran Malaysia mulai November ini, jangkaan harga sekitar RM 12,000.00

Yamaha MT-15 2020 secara rasminya diperkenalkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM), dalam majlis pelancaran sebuah lagi model yang ditunggu-tunggu iaitu Yamaha MT-25 2020. Pengenalan Yamaha MT-15 boleh dikatakan suatu kejutan kerana ramai yang menjangkakan hanya Yamaha MT-25 sahaja akan dilancarkan.

Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 telah diumumkan hanya akan tiba mulai bulan November 2020, dan harga jualannya juga akan diumumkan kemudian. Untuk rujukan, harga Yamaha MT-15 di pasaran Indonesia ketika ini adalah sebanyak Rp. 36,930,000, bersamaan RM 10,274.99, manakala di pasaran Thailand, ianya dijual pada harga THB 98,500, bersamaan RM 13,042.05 mengikut kadar semasa.

Untuk pasaran Vietnam pula, Yamaha MT-15 berharga sebanyak VND 69,000,000, bersamaan RM 12,332.75 mengikut kadar semasa. Berdasarkan pemerhatian dan pengiraan, harga kebanyakan model motosikal di pasaran Vietnam didapati tidak jauh berbeza dengan model-model sama yang ditawarkan di pasaran Malaysia.

Oleh itu sekadar jangkaan awal, Yamaha MT-15 di pasaran Malaysia dijangka akan ditawarkan pada harga sekitar RM 12,000.00, tidak jauh berbeza dengan harga model Yamaha YZF-R15 V3.0 di pasaran tempatan ketika ini. Harga tersebut boleh dikatakan berpatutan kerana model itu tampil sporty dengan spesifikasi yang cukup menarik.

Yamaha MT-15 2020 dilengkapi enjin bersesaran 155cc VVA (single-cylinder, liquid-cooled) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 19hp @ 10,000rpm dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm. Jentera naked tersebut dilengkapi tangki petrol 10.4 liter dan berat hanya 133 kg.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapinya termasuklah panel meter digital, lampu depan dan lampu belakang LED, suspensi depan upside-down berwarna emas, brek cakera dan tayar depan dan belakang yang lebar berukuran 110/70-17 dan 140/70-17. Untuk maklumat lanjut, kita nantikan ketibaannya pada bulan November depan.

(Visited 15,926 times, 12 visits today)