SM Sport SM3 2020 kini di pasaran Indonesia

Berdasarkan sumber dari negara jiran Indonesia, model terbaharu SM Sport SM3 telah berada di pasaran negara berkenaan sejak bulan Julai 2020 yang lalu. Harganya sekitar 88,600,000.00 Rupiah, bersamaan RM 24,757.99 mengikut kadar tukaran semasa.

Untuk pasaran Indonesia, SM Sport SM3 diedarkan oleh syarikat MForce Indonesia. Asal-usul model tersebut berasal dari negara China, namun berdasarkan paparan gambar dan spesifikasinya, ianya tetap menawarkan rekaan dan kualiti yang terbaik.

SM Sport SM3 tampil sebagai sebuah motosikal klasik moden dengan enjin berkapasiti 378cc (double cylinders, 4-stroke, 4-valve, water-cooling, camshaft upward with balance shaft), dilengkapi sistem EFI, sistem penghidup elektrik dan transmisi enam kelajuan. Kuasanya mencapai 36.2hp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 33Nm @ 6,500rpm.

Suspensi depannya dibekalkan fork jenis terbalik dengan diameter 41 mm, manakala suspensi belakang jenis konvensional berkembar. Sistem brek cakera lengkap dengan ABS, di samping rim berjejari dengan tayar depan dan belakang berukuran 120/70-17 dan 150/70-17. Ketinggian pelana 770 mm, manakala berat 184 kg (curb weight).

SM Sport SM3 turut dilengkapi panel meter digital, lampu LED dan lampu kecemasan, lampu depan jenis projektor, sistem ekzos yang elegan, dan tangki bahan api dengan kapasiti 18 liter. Dua pilihan warna menarik yang boleh didapati ialah hijau dan hitam.

Dengan penampilannya sebagai sebuah model klasik moden yang cukup bergaya dan sporty, peminat motosikal di pasaran Malaysia pasti gembira sekiranya SM Sport SM3 ini turut di bawa masuk ke pasaran tempatan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.