Honda Trail 125 ABS 2021 diperkenalkan di pasaran USA

Muncul sebagai sebuah model konsep di Tokyo Motor Show 2019, dan kemudiannya dilancarkan di pasaran Jepun, Thailand dan Indonesia, kini Honda CT125 secara rasminya diperkenalkan untuk pasaran USA. Untuk pasaran negara Uncle Sam itu, Honda CT125 kini dikenali dengan nama Honda Trail 125 ABS model tahun 2021.

Bakal memulakan jualannya mulai bulan November akan datang, Honda Trail 125 ABS ditawarkan dengan tanda harga $3,899.00, bersamaan RM 16,245.18 mengikut kadar tukaran semasa. Model tersebut hanya mempunyai satu pilihan warna tunggal iaitu Glowing Red, sementara spesifikasi teknikalnya sama seperti di pasaran lain.

Honda Trail 125 ABS 2021 dilengkapi enjin bersesaran 124.9cc (air-cooled, single-cylinder, four-stroke, SOHC; two valves per cylinder) dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI, dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Untuk ciri keselamatan yang lebih baik, brek depan cakera model tersebut didatangkan dengan sistem ABS.

Menurut Honda, model kapcai Trail 125 ABS yang berkonsepkan kembara ini boleh membawa penunggangnya ke mana sahaja destinasi, terutamanya untuk mereka yang suka melakukan aktiviti riadah seperti memancing, berkhemah, meredah laluan denai di kawasan hutan atau pun melakukan aktiviti di jalanan off-road yang menyeronokkan.