Modenas bakal melancarkan skuter baharu hujung tahun ini

Sempena dengan sambutan ulangtahun ke-25 Modenas pada bulan Ogos yang lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan sewaktu ditemubual oleh pihak media telah dilaporkan berkata bahawa syarikat pengeluar motosikal nasional itu bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu pada hujung tahun ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai model berkenaan, sama ada ianya masih model keluaran Kymco atau pun Kawasaki, atau ianya merupakan model baharu yang dibangunkan sendiri oleh Modenas. Setakat ini Modenas melalui Emos (Edaran Modenas) merupakan pengedar sah skuter keluaran Kymco untuk pasaran Malaysia, sejak penghujung tahun 2016 yang lalu.

Di pasaran tempatan ketika ini, Modenas menawarkan dua buah model skuter iaitu Modenas Elegan 250 dan Modenas Karisma 125. Kedua-dua model skuter tersebut berada dalam segmen pasaran yang tersendiri, oleh itu model skuter ketiga yang bakal diperkenalkan oleh Modenas ini menimbulkan sedikit sebanyak persoalan.

Adakah ianya merupakan sebuah model skuter terbaharu dengan enjin di bawah 200cc yang mementingkan prestasi seperti trend pengeluaran skuter masa kini? Atau ianya model skuter maxi seperti Kymco AK 550 atau Kymco Xciting S400? Diharapkan pihak Modenas akan memberikan sedikit sebanyak petunjuk atau ‘teaser’ selepas ini.

(Visited 928 times, 1 visits today)