Khusus untuk peminat motosikal cruiser di pasaran tempatan, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) baru-baru ini secara rasminya melancarkan Honda Rebel 500 model tahun 2020 terbaharu. Harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 32,899.00, serta didatangkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.
Honda Rebel 500 ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Mat Jean Blue Metallic, Mat Armored Silver Metallic dan Graphite Black. Aspek enjin masih lagi sama seperti model tahun sebelumnya, iaitu bersesaran 471cc (Liquid-cooled, 4-Stroke, DOHC, Twin Cylinders) dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Lebih menarik lagi ianya kini turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch.
Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin dengan piawaian emisi Euro 4 itu mencapai 45.6hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 43Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya mampu mengisi sehingga 11.2 liter petrol, manakala berat motosikal ialah 190 kg (curb weight). Ketinggian tempat duduk berada pada ukuran 690 mm sahaja, sementara ukuran jarak kelegaan bumi ialah 136 mm.
Beralih ke bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork teleskopik 41 mm di bahagian depan, dan di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak jenis berkembar. Untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat, sistem brek cakera tunggal di bahagian depan dan belakang, kedua-duanya dilengkapi sistem ABS (Anti-lock Braking System).
Honda Rebel 500 2020 hadir dengan panel meter digital berbentuk bulat, yang kini memaparkan petunjuk posisi gear dan tahap penggunaan petrol. Sistem lampu pula kini LED sepenuhnya. Untuk anda yang mahukan kelainan, BSH turut menawarkan pelbagai aksesori yang menarik untuk Honda Rebel 500 2020 di pasaran tempatan ini.
Galeri : Honda Rebel 500 2020
Galeri : Pilihan Aksesori Honda Rebel 500 2020