Honda CBR250RR 2021 disahkan masuk ke pasaran Malaysia mulai hujung tahun ini

Melalui artikel terdahulu, ramalan awal menjangkakan pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) secara rasminya akan melancarkan model yang ditunggu-tunggu Honda CBR250RR 2021 untuk pasaran Malaysia, mulai hujung tahun ini. Ramalan dan jangkaan tersebut dibuat berdasarkan beberapa petunjuk kukuh yang diperolehi.

Antaranya ialah BSH telah memperkenalkan versi perlumbaan untuk model tersebut baru-baru ini, khusus untuk digunakan dalam perlumbaan MSBK bagi musim depan. Jentera tersebut ditawarkan kepada mana-mana pasukan yang berminat pada harga RM 30,000.00, namun pengeluarannya terhad kepada hanya 10 unit sahaja.

Bagaimanapun ketika artikel ini ditulis, Honda CBR250RR 2021 terbaharu telah pun disahkan akan dilancarkan di pasaran Malaysia, sama ada pada bulan November atau Disember tahun ini. Ini berdasarkan maklumat daripada beberapa buah blog automotif tempatan popular, hasil daripada maklumbalas pihak pengurusan tertinggi BSH.

Ini bermakna Honda CBR250RR 2021 secara rasminya akan dijual di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dan ianya bukan lagi sekadar spekulasi, ramalan atau hanya khabar angin. Lebih menarik lagi, model tersebut dikatakan mungkin dijual pada harga di bawah RM 30k, dengan spesifikasinya sama seperti versi terbaharu di pasaran Jepun.

Untuk makluman, Honda CBR250RR 2021 baru saja diperkenalkan di pasaran Jepun pada 23hb. Julai 2020 yang lalu, manakala jualannya secara rasmi akan bermula pada 18hb. September 2020. Model tersebut telah menerima peningkatan kuasa enjin, di samping hadir dengan ciri baharu Assist & Slipper Clutch dan Quick Shifter (pilihan).

Jadi kepada semua peminat Honda CBR250RR 2021, nantikan pelancaran model sport bike berprestasi tinggi dengan ciri-ciri canggih itu di pasaran Malaysia, dalam tempoh kurang daripada empat bulan mulai sekarang. Pada masa yang sama, ambil peluang ini untuk mengumpul modal agar berpeluang untuk menempah motosikal ini lebih awal.

(Visited 4,021 times, 1 visits today)